Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan tindakan keluar parti beramai-ramai pemimpin UMNO Sabah pada Rabu merupakan isyarat bahawa ada sesuatu yang masih tidak kena dengan parti itu sekarang.

Katanya, hala tuju UMNO dilihat masih terumbang-ambing dan banyak isyarat yang datang dari pihak atasan mengelirukan anggota dari akar umbi.

"Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan, sekejap ke tengah. Enam bulan berlalu, UMNO masih tidak mampu untuk memberi isyarat yang jelas ke mana hala tuju parti ini mahu dibawa.

"Dalam konteks Sabah, keunikan politiknya gagal dibaca oleh UMNO pusat pasca PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14). Tidak ada usaha libat urus yang konsisten dan substantif sejak PRU14," kata bekas menteri itu dalam catatan Twitternya semalam.

Tambahnya, ramai pihak akan mula menuding jari selepas ini dan tidak ramai akan mengaku bahawa kecelaruan hala tuju itulah yang menjadi salah satu peneybab mengapa mereka keluar UMNO.

"Sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO, saya tidak terkejut dengan tindakan pemimpin-pemimpin kanan UMNO Sabah yang keluar parti.

"Saya tidak salahkan mereka. Itu hak mereka apabila mereka sudah menimbang semua aspek politik Sabah," tambahnya.

BACA: 13 wakil rakyat UMNO Sabah, termasuk pengerusi negeri keluar parti

BACA: Terima kasih atas segala jasa kepada UMNO - Mohamad Hasan

Pada Rabu, lima Ahli Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua senator mengumumkan langkah meninggalkan UMNO.

Susulan itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkuatkuasa Rabu, menggantikan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, salah seorang yang keluar parti.