Penasihat DAP Lim Kit Siang hari ini mempersoalkan sama ada Datuk Seri Mohamad Hasan akan meneruskan corak kepimpinan yang sama seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Veteran parti itu membangkitkan perkara itu susulan tindakan Ahmad Zahid pada Selasa yang menyerahkan kuasa kepada timbalannya itu untuk menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.

Selain itu, Lim berkata, biarpun Zahid telah menyerahkan tugas kepada Mohamad, ia tidak bermakna parti itu akan dapat dibersihkan dalam masa yang singkat.

"Saya menghormati beliau (Mohamad) sebagai salah seorang pemimpin UMNO yang berani menghadapi realiti dan kebenaran, serta tidak hidup dalam dunia fantasi seperti pemimpin UMNO yang lain.

"Tidak ada penyesalan dalam kalangan pemimpin UMNO setakat ini, dan ia merupakan satu pengkhianatan kepada negara," katanya dalam satu kenyataan.

Membuat pengumuman menyerahkan tugas itu, Ahmad Zahid berkata beliau membuat keputusan itu bagi menyelamatkan parti daripada terus berpecah dan demi penyatuan ahli-ahlinya.

Langkah tersebut, katanya, penting bagi memastikan UMNO berupaya bangkit, terutama ketika ramai wakil rakyatnya menerima pelbagai tekanan agar meninggalkan parti.

Lim juga bertanya siapa yang akan dilantik Ahmad Zahid untuk memegang jawatan Ketua Pembangkang.

"Adakah (Datuk Seri) Bung Moktar Radin akan menjadi ketua pembangkang di Parlimen?" soalnya merujuk kepada Ahli Parlimen Kinabatangan.

Lim juga bertanya adakah Mohamad akan sependapat dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, khususnya berhubung isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

"Memandangkan Mohamad akan mengambil alih kepimpinan UMNO untuk mengadakan kempen anti-ICERD bersama Abdul Hadi, mungkin kita boleh dapatkan jawapan dari Mohamad.

"Abdul Hadi berkata, semua orang Islam mesti menentang ratifikasi ICERD, menuduh konvensyen itu mempunyai agenda untuk memusnahkan agama, bangsa dan masyarakat. Adakah Mohamad bersetuju dengan Abdul Hadi?" soalnya.