Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mempersoalkan kenyataan Datuk Johari Abdul yang mengatakan semua permasalahan di Kedah akan berubah sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri.

Tegas Khairuddin, kenyataan Johari seolah-olah membawa maksud Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak membuat kerja di negeri itu selama ini.

“Kenapa Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Kedah itu membuat kenyataan yang boleh merosakkan reputasi kerajaan Pakatan Harapan negeri itu?

“Dia sudah lama menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani dan kenyataan seperti ini tidak harus dikeluarkan oleh salah seorang pemimpin senior Pakatan Harapan (PH) di Kedah.

“Apa yang cuba dinyatakan atau diketengahkan oleh Johari? Kenyataan begini boleh mengguris perasaan sesama kawan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

BACA: Segala permasalahan di Kedah akan selesai bila Anwar jadi PM - Johari

BACA:
Bangsa Kedah itu contoh, jangan salah faham - Johari

Johari pada Ahad, menyatakan keyakinannya terhadap masalah di Kedah akan dapat diselesaikan dalam tempoh empat atau lima bulan akan datang.

Katanya, penyelesaian akan dapat diatasi apabila Perdana Menteri ketika ini Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan itu dalam tempoh terdekat berdasarkan perjanjian sosial di kalangan pucuk pimpinan PH.

Khairuddin berkata, kenyataan itu juga seolah-olah memberi erti Menteri Besar Kedah hari ini tidak mampu menyelesaikan masalah-masalah rakyat di negeri tersebut.

“Dalam kenyataan itu juga Johari berkata dia sedang menyusun program 'roadshow' (jelajah) di Kedah untuk mendapat input permasalahan secara terus daripada rakyat.

“Sekiranya saya sudah lama menjawat jawatan Ahli Parlimen di Kedah, saya tidak perlu buat kajian lagi. Sudah pasti saya sudah mahir dan mengetahui pelbagai permasalahan rakyat di Kedah.

“Tidak perlu buang masa untuk menjelajah seluruh Kedah lagi tetapi perlu terus bekerja tanpa banyak bercakap,” jelasnya.

Khairuddin turut merasakan Johari kurang cerdik dan mahu memberitahu seolah-olah dia sendiri tidak buat kerja.

“Sebab itu Johari baru hendak anjur siri penjelajahan ke seluruh Kedah untuk mendengar permasalahan rakyat.

“Setiap fakta-fakta permasalahan rakyat di negeri itu sepatutnya sudah direkodkan dalam otak Johari kerana dia sendiri bukan pemimpin baru di Kedah," katanya.

Tambahnya, perbuatan dangkal Johari itu boleh merosakkan imej PH secara menyeluruh.

“Kita semua di bawah satu bumbung seharusnya berganding bahu untuk saling bantu membantu sekiranya terdapat apa saja kelemahan dalam jentera pentadbiran PH.

“Kita bukan hendak bersaing sesama sendiri. Kenapa Johari bodoh sangat?” soalnya.

Dalam pada itu kata Khairuddin, Majlis Presiden PH harus menegur mana-mana pemimpin yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengganggu gugat perpaduan seterusnya merosakkan imej PH.

“Kalau Johari rasa dia pandai sangat, pergilah jumpa Mukhriz untuk melontarkan apa sahaja cadangan bernasnya ke arah sama-sama memperkuatkan mutu pentadbiran kerajaan PH Kedah.

“Inilah masalah dengan kalangan tertentu di dalam PH yang mempunyai agenda kepentingan diri.

“Mereka seharusnya meletakkan agenda PH serta kepentingan rakyat di atas segala-galanya untuk menjamin PH terus cemerlang, gemilang dan terbilang di sanubari rakyat,” tegasnya.

Johari dilaporkan sudah menghabiskan siri jelajahnya terakhirnya di Cabang Keadilan Sungai Petani setelah 14 cabang di seluruh negeri dilawati dalam Jelajah MPN Keadilan 1.0 bermula April lepas.

Sementara siri Jelajah 2.0 dikatakan akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Pada lawatan setiap cabang Keadilan, MPN dikatakan akan memberi fokus penduduk luar bandar terutama di penempatan kawasan tanah rancangan seperti Felda, Felcra ataupun KEDA.