Pandemik COVID-19 yang masih belum jelas bila bakal berakhir menuntut masyarakat dunia termasuk di Malaysia untuk mengamalkan normal baharu dalam kehidupan harian.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassian dalam Perutusan Khas pada Ahad memaklumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan empat minggu lagi sehingga 9 Jun ini atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Walaupun hampir keseluruhan sektor ekonomi negara dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi semula sejak 4 Mei lalu, namun terdapat aktiviti-aktiviti yang tidak dibenarkan, antaranya melibatkan perhimpunan; majlis perkahwinan; solat berjemaah dan bazar Ramadan.

Bagi pemimpin-pemimpin negara dan ahli politik pula, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu turut menyaksikan mereka terpaksa mengehadkan urusan pergerakan, selain segelintir mereka menggunakan sidang video untuk menyampaikan maklumat dan inisiatif kerajaan kepada rakyat.


Namun, 18 Mei ini menjadi hari pertama buat Ahli Parlimen untuk kembali bersidang di Dewan Rakyat dan ‘bertentang mata’ antara satu sama lain bagi membincangkan isu semasa selepas hampir dua bulan pelaksanaan PKP.

Di sebalik keputusan untuk mengadakan Persidangan Dewan Rakyat tersebut, garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) tetap perlu dipatuhi bagi memastikan keselamatan, sekali gus mengelakkan penularan COVID-19.

Berikut beberapa garis panduan yang ditetapkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14:

- Sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama satu hari sahaja (18 Mei).

- Istiadat perasmian Parlimen diadakan pada 18 Mei dan serentak itu diadakan mesyuarat Dewan Rakyat.

- Atas nasihat KKM, tiada pemeriksaan perbarisan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tetapi Seri Paduka akan tetap bertitah merasmikan sidang Dewan.

- Satu usul akan dibawa untuk menangguhkan perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong.

- Dewan Rakyat diadakan bagi membincangkan Rang Undang-undang dan Usul Kerajaan sahaja serta tiada sesi pertanyaan jawab lisan serta usul daripada Ahli Parlimen.

- Sebarang usul daripada pembangkang jika diterima oleh Speaker, perlu menunggu urusan kerajaan diselesaikan terlebih dahulu.

BACA: Sidang Dewan Rakyat wajar kekal sehari, ikut SOP KKM

BACA: Utamakan urusan kerajaan sebelum usul lain dibahas pada sidang 18 Mei - Takiyuddin

- Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan, hanya beberapa media rasmi kerajaan sahaja dibenarkan untuk membuat liputan pada sidang pembukaan Parlimen tersebut.

- Permohonan lawatan ke Parlimen adalah dibekukan buat sementara waktu berkuat kuasa serta-merta ekoran penularan COVID-19.

- Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof kepada Astro AWANI hari ini, garis panduan terkini termasuk mengenai penjarakan sosial dan kedudukan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat akan dimaklumkan pada minggu ini.