Mana-mana ahli PAS yang bertindak mempromosi pembentukan parti lain atau berusaha untuk menarik ahli PAS lain untuk keluar dari parti akan digugurkan keahliannya secara automatik.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Jawatankuasa Disiplin parti akan menyiasat perkara tersebut sekiranya ada aduan.

"Setakat ini, parti Gerakan Harapan Baru belum lagi tertubuh. Jadi, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan," kata beliau dalam satu sidang media sebelum majlis berbuka puasa bersama media di sebuah hotel di sini petang tadi.

Tambah beliau, jika pembentukan Gerakan Harapan Baru dirasmikan, ia tidak memberi apa-apa nilai tambah kepada muafakat pembangkang.

"Kumpulan ini tergolong dalam PAS. Jadi, tiada apa pun nilai tambah yang boleh diberi kepada pakatan pembangkang," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali menegaskan PAS Selangor akan kekal memberi sokongan kepada Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

"Tiada masalah di sini kerana Menteri Besar masih mendapat sokongan kami," jelas beliau.

Katanya lagi, tiada masalah untuk ahli PAS dan ahli DAP untuk bekerjasama di peringkat kerajaan negeri.

"Namun, hubungan antara parti itu sudah tiada," kata Mustafa.

Sebelum ini, satu parti politik baru diterajui pemimpin progresif dalam parti PAS yang kalah semasa pemilihan parti baru-baru ini diumumkan penubuhannya pada pagi Isnin.

Pengerusi parti tersebut, Mohamad Sabu berkata, parti yang dinamakan sebagai Gerakan Harapan Baru itu dilihat sebagai satu platform untuk menggerakkan semula kerjasama parti politik di pihak pembangkang.

"Parti ini berteraskan Islam dengan pendekatan inklusif, progresif dan mengambil peduli terhadap rakyat.

"Ini merupakan permulaan kepada kerjasama baru atau Pakatan Rakyat 2.0," beliau dilaporkan berkata.