Ahli-ahli UMNO dinasihat tidak gusar dan terlalu mengikut emosi mengenai isu pembekuan akaun parti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, parti akan memberikan kerjasama sepenuhnya selagi isu itu mengikut undang-undang dan memahaminya merupakan sebahagian daripda siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya fikir biarlah kerajaan jalankan tugas dia, biarlah SPRM jalankan tugasnya. Bagi saya, lagi cepat perkara ini dapat dibawa ke mahkamah, lagi cepat ia dapat dibuktikan.

"Selagi tidak dibuktikan di mahkamah, seseorang itu tidak bersalah. Ia merupakan tanggungjawab mahkamah dan sistem kehakiman. Kita perlu melalui proses itu.

"Jadi saya fikir ahli-ahli UMNO tidak perlu terlalu bimbang dan marah. Kita akan pastikan kerjasama sepenuhnya,” katanya semasa menjadi tetamu rancangan 100 Hari Malaysia Baharu di Astro AWANI pada Khamis.

Annuar akan bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO bersama Datuk Seri Mohamad Hasan pada pemilihan yang akan diadakan pada Sabtu.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa SPRM telah membekukan akaun UMNO pusat dan UMNO Selangor.

Ahmad Zahid yang menjalankan Tugas-Tugas Presiden berkata, beliau berkeyakinan hampir pasti akaun UMNO Johor turut dibekukan SPRM.

BACA: SPRM berhak ambil tindakan beku akaun UMNO - Muhyiddin

Dalam pada itu, kata Annuar, perjalanan aktiviti UMNO sebagai parti politik tidak akan terganggu sekiranya pembekuan akaun berterusan.

"Walaupun akaun itu dibekukan, ia hanya berdasarkan aspek tertentu yang sedang dikaji oleh SPRM.

"Sekiranya ada keperluan, sebagai contoh, membayar gaji kakitangan sekarang, saya difahamkan ada kaedah untuk kita berunding ataupun mencari satu jalan keluar mungkin melalui mendapatkan perintah mahkamah," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berharap pembekuan itu adalah sementara kerana mendakwa UMNO tidak terlibat dalam isu 1MDB.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh sebelum ini menyarankan UMNO memberi keterangan kepada pihak polis jika benar ada antara barangan rampasan di rumah Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk wang tunai melibatkan siasatan kes 1MDB adalah milik parti itu.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya belum dapat mengenal pasti pemilik barangan rampasan yang dibuat di enam premis melibatkan bekas perdana menteri berkenaan.