Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang.

Mohamad, yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, berkata keputusan berkenaan diambil selepas berfikir panjang sama ada mahu meneruskan perjuangan parti atau bersara dari bidang politik.

"Terdapat banyak desakan dan sokongan supaya saya bertanding jawatan Presiden, tetapi apabila difikirkan semula keupayaan, biar saya bertanding jawatan ini sahaja supaya dapat membantu Presiden yang akan dipilih nanti.

"Saya harap tiada pihak yang akan salah tafsir tindakan saya ini kerana niat saya hanya mahu berbakti kepada parti dan masyarakat di kala parti ini sedang dalam keadaan tenggelam ketika ini," kata beliau seperti dipetik laporan media.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Khatam Tadarus al-Quran Persatuan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Negeri Sembilan (PEKERTI) di bangunan NSWO pada Sabtu.

Sebelum ini, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bersetuju untuk memberi tempoh lanjutan masa pemilihan seluruh jawatankuasa termasuk Majlis Tertinggi UMNO dijalankan selewat-lewatnya pada 19 April 2019.

BACA: Khairy tanding jawatan Naib Presiden UMNO

BACA: Siapa Presiden UMNO untuk penggal 2018-2021?

VIDEO: Annuar Musa 'tunggu ilham' tanding jawatan Presiden UMNO