Tutup

Ambil peduli hasrat orang muda mahu wakil pada PRU14 - Yamani

Ambil peduli hasrat orang muda mahu wakil pada PRU14 - Yamani
YAMANI: Aspirasi orang muda pada hari ini mahu melihat perubahan dan mahu mereka diberi peluang memimpin. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Hasrat orang muda yang mahu wakil dalam kerajaan perlu diambil perhatian dan diterjemahankan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN)  Sabah Yamani Hafez Musa berkata, ini selaras dengan usaha menggerakkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diperkenalkan Kerajaan.

"Kerana itu calon-calon muda perlu diketengahkan pada PRU14 akan datang.

"Oleh itu, parti perlu menintikberatkan perubahan kepimpinan agar ada keseimbangan apabila menghadapi pihak lawan pada PRU14 nanti," kata ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: #MalaysiaMemilih: BN Sabah sedia tampilkan calon muda - Yamani

BACA: BN Sabah gubal Manifesto PRU14 dalam Kolokium Orang Muda - Armizan
Katanya, hasrat itu dinyatakan selepas Program TN50 Pedalaman di Dewan Masyarakat di sana pada Sabtu.

Turut hadir pada program berkenaan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Keningau Datuk Annuar Datuk Ayub,  Ketua Pergerakan UMNO Keningau Nik Nadzri Nik Zawawi selaku pengerusi penganjur, Duta TN50 Arthur Tan Sri Joseph Kurup, Ketua Pergerakan  Pemuda  UMNO Pensiangan Jehan Osman dan Ketua Pemuda PBS Liawan Agustine Nain.

Hafez yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah berkata, pihak pemimpin muda pembangkang juga memikirkan dan menyuarakan perkara yang sama.

"Jika melihat kepada bayangan Pakatan Harapan (PH) yang akan meletakkan perdana menteri yang berumur lebih 90 tahun jika menang, ia merupakan ruang yang perlu diambil perhatian oleh pucuk pimpinan BN pada PRU14 nanti untuk mengetengahkan calon-calon muda.

"Aspirasi orang muda pada hari ini mahu melihat perubahan dan mahu mereka diberi peluang memimpin," jelasnya.

Mengenai hasrat orang muda yang mahu beliau dicalonkan pada PRU14 akan datang, Hafez berkata, itu adalah suara dan hasrat akar umbi.

“"Sesiapapun boleh menyuarakan hasrat dan mencadangkan calon pilihan tetapi akhirnya keputusan adalah di tangan pucuk pimpinan iaitu perdana menteri," ujarnya.

Dalam masa yang sama Hafez berpuas hati dengan penganjuran program di kawasan pedalaman kerana mencatat kehadiran melebihi 3,000 belia dari kawasan berkenaan.

Menurut beliau, inilah kehadiran yang paling ramai berbanding program sama yang dianjurkan di daerah-daerah lain sebelum ini.