Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Parlimen Port Dickson disifatkan bukanlah kehendak rakyat, sebaliknya demi kelangsungan politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir bagaimanapun berkata, sebagai calon perdana menteri kelapan, Anwar berpotensi dan bertanggungjawab membawa suara serta perubahan rakyat Port Dickson.

“Apabila kita berkempen, Datuk Seri Anwar memfokuskan kepada nasib rakyat tempatan di sana dan perancangan beliau yang diutarakan semua, mempunyai cara dan kaedahnya, itu kekuatan Datuk Seri Anwar.

“Yang mana saya rasa dari segi pelaksanaannya, beliau mampu. Ia akan memberi kelebihan kepada pengundi di Port Dickson.

“Oleh itu, bicara dalam soal kenegaraan, kita juga perlu lihat dan pastikan kepentingan penduduk di PD ini kita jaga dan inilah peluang pengundi Port Dickson untuk pastikan suara mereka bukan sahaja didengar di peringkat kawasan tetapi juga akan sampai ke peringkat Parlimen dan kerajaan,” katanya.

BACA: Anwar berpotensi untuk menang di PRK Port Dickson

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel dalam Wacana Sinar Harian ke-72 bertajuk Port Dickson Pasca Prk: Apakah Harapan Rakyat, di Dewan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.