Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Anwar dakwa masih ada sokongan yang mencukupi

Anwar dakwa masih ada sokongan yang mencukupi
ANWAR: Saya tahu sesetengah ahli parlimen di pihak sebelah sana tidak gembira kerana pemimpin parti mereka telah merampas suara mereka. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi mendakwa bahawa beliau masih mempunyai sokongan yang mencukupi untuk menghidupkan semula kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi akaun Twitter @anwaribrahim, Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menyatakan bahawa ahli parlimen yang berikrar untuk menyokong beliau telah berbuat demikian secara individu, merujuk kepada temu bual empat mata Yang di-Pertuan Agong dengan ahli parlimen untuk mengetahui siapa yang mereka pilih sebagai perdana menteri bagi menamatkan krisis politik semasa yang melanda negara ini.
"Saya tahu sesetengah ahli parlimen di pihak sebelah sana tidak gembira kerana pemimpin parti mereka telah merampas suara mereka," katanya.

Anwar kemudian mengakhiri hantaran itu dengan: "Marilah kita jayakan proses demokratik ini. Insyaallah."


BACA: Mesyuarat Majlis Presiden PH, Anwar 'kunci mulut'

Terdahulu pada Jumaat, ketika memberikan maklum balas kepada Istana Negara yang meminta parti politik menamakan calon mereka untuk jawatan perdana menteri, Bersatu, Barisan Nasional dan PAS telah mengumumkan bahawa pilihan mereka ialah Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerajaan Pakatan Harapan, yang terdiri daripada PKR, DAP, Bersatu dan Amanah, tumbang pada Isnin selepas Bersatu dan 10 ahli parlimen PKR keluar parti dan pakatan itu.

Susulan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletak jawatan sebagai perdana menteri namun dilantik sebagai perdana menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong.

--BERNAMA