Tutup

Apa berlaku kalau MCA jadi calon di Tanjung Piai?

Apa berlaku kalau MCA jadi calon di Tanjung Piai?
Paling asas, politik adalah segala sesuatu tentang proses merumuskan dan melaksanakan keputusan yang dimahu umum secara keseluruhan. - Gambar Hiasan
DALAM politik, pelbagai keajaiban boleh berlaku.

Keajaiban ini pula tidak tertakluk kepada hasil yang membawa kepada keuntungan atau nasib malang yang akan ditempuhi sesebuah organisasi atau parti itu pada masa hadapan.
Paling penting, setiap keputusan dalam politik perlu memberi kebaikan bersama kepada semua ahli dan juga masyarakat di bawah naungan pemerintahan atau negara. Jangan dinafi kekuatan politik itu merangkumi hal-hal berkaitan urus tadbir serta mempertahankan kekuasaan yang menjadi hak masyarakat itu sendiri.

Paling asas, politik adalah segala sesuatu tentang proses merumuskan dan melaksanakan keputusan yang dimahu umum secara keseluruhan.
Kata kepimpinan

Menanti saat pengumuman calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai seolah-olah menyaksikan cerita saspens yang sukar diramal penghujungnya.

Situasi tegang, teruja, cemas dan bimbang menanti klimaks siapa yang akan menjadi wakil gabungan pembangkang itu sendiri memberi 1,001 pertanyaan dalam parti-parti naungan yang berbaki tiga hari sahaja kini.

Kepimpinan UMNO, MCA dan MIC juga dikatakan sudah mula berbincang mengenai siapa calon di Tanjung Piai sejak tarikh-tarikh penting PRK diumum Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada awal Oktober lagi.



Kata sepakat calon dari parti mana yang akan mewakili BN sebenarnya mempengaruhi kemenangan atau kekalahan mereka dan ia perlu ditimbang dalam pelbagai aspek demografi termasuk usia, kaum, kekuatan parti dan mungkin paling penting sentimen semasa masyarakat terhadap penerimaan mereka kepada corak kepimpinan kerajaan atau hala tuju pembangkang yang mungkin masih samar dalam perjuangan politik selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Paling penting keputusan barisan kepimpinan dalam membuat apa apa keputusan mengenai calon PRK ini. Kita lihat di beberapa PRK yang dimenangi BN, pencalonan dibuat dengan khusus dan tepat pada waktunya tanpa banyak berbicara, pertikaian atau disoal.

Apabila keputusan pucuk pimpinan yang dibuat pada waktu itu diputuskan, tiada orang yang boleh membangkang dan mengugut. Itu sebenarnya ramuan kemenangan awal yang boleh menggoyang lawan.

Namun, situasi di Tanjung Piai nampak sedikit kacau dan membayangkan drama siapa calon BN bermula apabila Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri seolah-olah terkunci mulutnya apabila tidak mengumumkan siapa wakil gabungan itu selepas melancarkan jentera pilihan raya BN di Pontian baru-baru ini.

Ia sekali gus membuka ruang kepada pihak tertentu untuk merayu, mencatur serta tidak salah jika dikatakan mengugut kepimpinan nombor satu BN itu untuk berfikir dua kali sebelum mengumum calon PRK mereka.

BACA: Tanjung Piai Memilih: Karmaine Sardini calon Pakatan Harapan 

BACA: Gerakan umum Wendy jadi calon di Tanjung Piai 

Realitinya, suara ugutan itu seolah-olah tidak boleh dibendung kerana sudah kedengaran di akar umbi dan jentera BN Tanjung Piai sendiri yang terdiri daripada 90 peratus Melayu mengenai spekulasi punca kelewatan pengumuman calon di Parlimen P165 itu.

Ketegangan itu mungkin boleh dielak dan mungkin boleh diterima jika pucuk pimpinan sejak dari awal sudah mengumumkan calon MCA menjadi taruhan dalam PRK Tanjung Piai sekali gus mengelakkan membuka ruang kepada sesiapa untuk membuat spekulasi atau perbahasan siapa calon paling sesuai.

Tetapi, itu semua tidak terjadi. Sekarang, pelbagai perasaan melanda ahli BN selain cerita-cerita tambahan daripada kalangan jentera sendiri lahir apabila sudah terlalu lama masa diambil dan penangguhan masa pengumuman calon dibuat.



Ada ugutan

Unsur ugutan dalam isu calon timbul di Tanjung Piai boleh dikaitkan dengan petikan buku Jacques Ellul bertajuk Propaganda: The Formation of Men’s Attitudes (1962) yang menghuraikan bagaimana propaganda boleh dilakukan dengan memahami dimensi sosiologi dan psikologi manusia.

Buku itu memberikan penjelasan mengenai taksonomi propaganda dan fungsinya. Paling penting yang perlu kita fahami adalah propaganda itu sendiri adalah mengenai aktiviti menyampaikan kebenaran serta bukan penipuan dan muslihat seperti yang kita semua faham hari ini.

Kerisauan timbul apabila terdengar ada unsur ugutan daripada jentera yang tidak mahu bergerak seandainya calon MCA bertanding di Tanjung Piai.

Jelas, jika situasi itu berlaku, pergerakan kempen BN akan menjadi lemah kerana realitinya dan tidak boleh dinafikan sesiapa jati diri penyokong UMNO adalah lebih kuat dari pemimpin-pemimpin parti itu sendiri yang selalu bertolak ansur dalam membuat keputusan. Ia pasti merugikan UMNO itu sendiri.

BACA: PRK Tanjung Piai: Pakatan Harapan akui persaingan mencabar 

BACA: PRK Tanjung Piai: Gerakan yakin calon dapat banyak undi - Dominic 

Jentera UMNO juga sentiasa ingat ugutan MCA awal-awal lagi yang mereka akan keluar BN jika tidak dicalonkan.

Beberapa laporan berita juga menunjukkan wujud desakan daripada akar umbi MCA yang mahu parti itu meletakkan calon bertanding di kerusi berkenaan walaupun UMNO mahu mendapatkan kembali kerusi berkenaan.

Desakan itu makin jelas apabila ada ahli akar umbi MCA juga dikatakan mahu presiden parti bertegas dan tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang mahu mengambil kerusi berkenaan.

Maka, jika situasi ini terjadi, besar kemungkinan jentera UMNO dan BN yang tidak makan ugutan kemungkinan besar akan lepas tangan tanda protes.

Isu ketaatan mula timbul bila ramai pihak yang mengugut, mendesak dan memberi nasihat supaya calon di PRK Tanjung Piai diserah kepada MCA.

Lebih memalukan, pada 26 September lalu, Ketua MCA Bahagian Kapar, Song Kee Chai juga mengugut untuk keluar parti jika mereka tidak mendapat kerusi di Tanjung Piai.

UMNO akan dilihat tunduk kepada ugutan seandaianya mengalah dan memberi kerusi itu kepada MCA

Impaknya, UMNO akan merasa tertipu dan tidak boleh ditolak kemungkinan akan memberi undi kepada calon Melayu Pakatan Harapan (PH) iaitu Ketua Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 16 November depan.

BACA: Ahmad Zahid bayangkan UMNO bertanding di PRK Tanjung Piai

BACA: Tanjung Piai Memilih: UMNO atau MCA, jentera Pas sedia membantu 

Bersatu akan menerima laba keuntungan seperti mana pengundi Cina MCA yang memberi undi mereka kepada PH pada PRU lepas

MIC juga khabarnya turut menyokong MCA untuk kerusi Tanjung Piai.

MCA mungkin akan tersungkur awal di tengah jalan jika parti Putra mengambil alih dan meletakkan calon demi mencari sokongan Melayu kali ini.

Ugutan mahu keluar BN hanya memburukkan keadaan, spekulasi siapa calon dan permainan propaganda parti di dalam gabungan pembangkang hanya memburukkan keadaan.

Namun, jika ugutan tidak didengar dan MCA serta MIC keluar BN, lenyaplah legasi gabungan tertua bekas pemerintah negara itu dan semua ahli Parlimen akan menjadi bebas 'tanpa tuan' di Dewan Rakyat.



* Wan Syamsul Amly ialah wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.