Pemberian bantuan RM1,000 kepada golongan nelayan yang diumumkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal sebenarnya telah diumumkan semasa Belanjawan Negeri tahun lalu.

Menurut Ketua Armada Bersatu Iskandar Puteri, Mohd Fahim Mohd Farid, insentif tersebut diberikan kepada nelayan di kawasan Selatan Johor yang terjejas akibat aktiviti pembangunan.

”Insentif ini telah diumumkan oleh Kerajaan Negeri semasa Belanjawan Johor 2019 dan bukan sebagai gula-gula kepada rakyat Tanjung Piai kerana ada Pilihan Raya Kecil.

”Bantuan ini bukan sahaja untuk kawasan Tanjung Piai tapi melibatkan kawasan keseluruhan Johor Selatan seperti Johor Bahru, Pulai, Gelang Patah, Pasir Gudang, Tebrau dan Pontian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA: Nafi tabur 'gula-gula': Peruntukan telah lulus lebih awal - Salahuddin

BACA : Bantuan nelayan semasa PRK: Biar mahkamah tentukan - Salahuddin

Beliau membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak terhadap apa yang disifatkannya sebagai rasuah politik.

Semakan di portal rasmi Kerajaan Negeri Johor mendapati peruntukkan RM1.8 juta diberikan kepada 1,800 nelayan di Selatan Johor diumumkan ketika Belanjawan Johor 2019 dibentangkan tahun lalu.

Sejumlah RM500,000 juga diperuntukan bagi Program Penghakupayaan Komuniti Nelayan seperti latihan dan bantuan peralatan.

Mengulas lanjut, Mohd Fahim berkata bayaran tersebut mengambil sedikit masa kerana kerajaan negeri mengemaskini senarai bantuan agar tidak berlaku ketirisan.

”Bantuan ini tiada isu, jangan politikan tanggungjawab Menteri Besar Johor sebagai Ketua Kerajaan Johor untuk berkhidmat kepada rakyat Johor,” katanya.