Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Bayan Baru, Aizat Khalid, hari ini mahu pimpinan parti menapis semula bekas pemimpin UMNO sebelum diterima menyertai parti itu.

Beliau berkata ini adalah kerana pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) rakyat menolak Barisan Nasional (BN) kerana mereka tidak mahu lagi pemimpin-pemimpin UMNO dan mereka tidak mahu UMNO memerintah negara.

"Saya juga tidak menafikan ada nama-nama besar pemimpin UMNO yang sangat disegani oleh rakyat, tetapi kita tetap perlu tapis mereka ini jika benar-benar sudah berubah dan mahu lakukan perubahan bersama," katanya dalam kenyataan melalui WhatsApp hari ini.

Hari ini seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan keluar parti, kurang 24 jam selepas Datuk Seri Mustapa Mohamed mengambil tindakan yang sama semalam.

BACA: Keluar UMNO: 'Itu janji saya kepada pengundi' - Anifah Aman

Aizat berkata jika semua pemimpin UMNO keluar parti dan mendaftar diri sebagai anggota Bersatu, maka parti itu mungkin akan ditolak rakyat.

"Tindakan itu mungkin menyebabkan kita akan dibenci rakyat kerana kita menerima masuk orang yang mereka tolak sebelum ini," katanya.

Dalam PRU14 Mei lepas, Bersatu memenangi 13 kerusi Parlimen dan 27 kerusi Dewan Undangan Negeri. -- Bernama