Bonda tidak izin bertanding - Nik Omar Nik Aziz

Bonda tidak izin bertanding - Nik Omar Nik Aziz
"Semua bergantung kepada bonda, selagi bonda tidak izin, bonda minta tidak terlibat, kita kena terima. Bonda melihat mungkin kerana berlaku pertembungan."
KOTA BHARU: Anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar menegaskan beliau tidak akan menyertai Amanah termasuk bertanding pada PRU14.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah yang menjelaskan beliau antara individu yang akan menyertai Amanah dan sedang melakukan perundingan keluarga.

Anak kedua bekas Mursyidul Am Pas itu berkata, keputusan itu dibuat adalah kerana faktor ibunya, Tuan Sabariah Tuan Ishak yang tidak memberi kebenaran untuk berjuang dalam bidang politik.

BACA: Abang saya, Nik Omar tidak sertai Amanah - Nik Abduh
Mengakui bahawa kecenderungan untuk berpolitik wujud hasil didikan Allahyarham bapanya, Pengetua Maahad Darul Annuar, Pulau Melaka itu berkata, pandangan ibu mesti menjadi keutamaan dalam setiap keputusan dalam kehidupannya.

“Semua bergantung kepada bonda, selagi bonda tidak izin, bonda minta tidak terlibat, kita kena terima. Bonda melihat mungkin kerana berlaku pertembungan.

“Bila ditanya kenapa bonda? Saya nak tunjuk apa jua yang kita lakukan pentingnya mendapat keizinan dan restu ibu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini, Nik Omar yang tidak memiliki jawatan dalam Pas dikatakan akan menyertai Amanah dan akan bertanding dalam PRU14.

Amanah dikatakan mencalonkan beliau di kerusi Dun Chempaka, iaitu kawasan yang pernah ditandingi Nik Abdul Aziz.

Ketika ditanya adakah beliau mengadakan pertemuan dengan pimpinan Amanah dalam masa terdekat, Nik Omar mengakui tidak ada masalah memberi pandangan dengan pimpinan parti itu.

“Saya secara peribadi tidak suka bergaduh, suka berkawan semua orang. Saya tidak ada masalah jumpa dengan semua orang termasuk pimpinan Amanah.

“Mungkin pemikiran saya lain, jadi pandangan dilihat selari dengan apa yang dibawa oleh Amanah,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama berkata, masih ahli Pas tetapi membawa pandangan berbeza iaitu parti itu tidak boleh berkembang dengan pendekatan yang dilakukan kini.

“Saya masih ahli Pas dan ahli seumur hidup selepas balik dari Mesir. Kalau tanya, saya juga pangkah Pas, tetapi saya melihat untuk menang dalam politik kita mesti dalam gabungan.

“Sekarang ni Pas sendiri. Pas itu kuat, tetapi gabungan itu tidak kuat, itu yang saya tekankan dan Pakatan Harapan memiliki gabungan yang kuat dengan empat parti memiliki kekuatan masing-masing,” katanya.