Tutup

Buang budaya kipas dalam UMNO

Buang budaya kipas dalam UMNO
MAHDZIR: Selepas setiap kelemahan dapat dibaiki maka pada akhirnnya kita akan kembali menjadi kuat bermula di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan kebangsaan. - Gambar fail
ALOR SETAR: Budaya kipas di dalam UMNO antara perkara yang perlu dihentikan segera jika mahu melihat parti Melayu tersebut kembali kukuh bagi mendepani PRU15, tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, setiap ahli perlu mengelak usaha menaikkan mana-mana individu sebaliknya menerima apa yang ditentukan atau telah ditetapkan parti kerana UMNO telah memikirkan yang terbaik untuk masa depan.
"Saya bercakap secara keseluruhan di seluruh negara bahawa kita tewas pun ada sebab, kita perlu muhasabah diri. Akhirnya (faktor) kita kalah pun kerana sesama kita sendiri.

"Kita tidak perlu lagi nak jolok si A dan naikkan si B. Apa yang hendak dibawa oleh parti kita perlu terima sebab parti juga memikirkan yang terbaik untuk pilihan raya dan akan datang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pokok Sena di Bangunan Tunku, Alor Setar petang tadi.
Menurutnya, itu antara kelemahan yang perlu diberi perhatian oleh parti tersebut selain tewas kepada PH akibat manifesto pihak lawan.

"Kita boleh memperkukuhkan kembali UMNO dengan keinsafan keputusan PRU pada 2018.

"Selepas setiap kelemahan dapat dibaiki maka pada akhirnnya kita akan kembali menjadi kuat bermula di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan kebangsaan," katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, penyatuan ummah di antara UMNO dan Pas bukan retorik malah sudah berada pada fasa terakhir sebelum dimuktamadkan pada Julai ini.

Jelasnya, beliau hairan kerana ada pemimpin PH yang tidak faham dan masih menganggap kerjasama antara dua parti berkenaan sebagai retorik semata-mata.

"Retorik ini adalah sekadar percakapan semata-mata tetapi kerjasama di antara UMNO-Pas melibatkan seluruh bahagian kedua-dua parti.

"Pas telah membawa usul ke dalam muktamar mereka dan diluluskan manakala UMNO telah berbincang di dalam biro politik dan dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi parti, takkan masih lagi retorik," katanya.