Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad mengingatkan pihak kerajaan supaya jangan mencabar dan terus mengasak beliau berhubung dakwaannya terdapat cubaan untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Saarani, yang juga ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkata, jika terus diasak, beliau bersedia untuk mendedahkan dalang cubaan itu, termasuk di dalam DUN Perak yang sedang berlangsung.

"Jangan cabar saya. Saya pun tidak ada sebab hendak simpan benda ni. Walaupun dalam Dewan, ADUN saya akan berdiri mengaku dia (pernah) dihubungi," katanya pada sidang media khas di Bilik Media Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Minggu lepas, Saarani mendakwa terdapat usaha di kalangan Exco kerajaan negeri yang menawarkan sekurang-kurangnya lima Ahli Dewan Undangan Negeri dari UMNO dengan pelbagai tawaran untuk menjatuhkan Ahmad Faizal.

BACA: Wujudkah gerakan jatuhkan MB Perak?

Ekoran dakwaan itu, beberapa pihak termasuk Exco kerajaan negeri dan wakil rakyat kerajaan tampil menafikannya dan mendesak Saarani mendedahkan nama Exco berkenaan.

Saarani berkata, beliau bersedia untuk mendedahkan nama Exco kerajaan negeri Perak yang didakwa cuba menjatuhkan Menteri Besar tetapi dengan syarat, semua 10 Exco di negeri ini bersetuju jika nama mereka didedahkan.

Mengenai dakwaan Exco kanan negeri Perak, Asmuni Awi kononnya UMNO melalui seorang bekas pemimpin kanan negeri pernah menawarkannya jawatan Menteri Besar sekiranya menyertai UMNO, Saarani menafikannya.

BACA: 'UMNO Perak yang tawar saya jadi MB' - Asmuni Awi

"Dia bukan wakil saya, saya tidak pernah menyuruh orang hantar WhatsApp, tidak pernah kerana kami lebih bersedia untuk menguatkan UMNO untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan PRU15 (Pilihan Raya Mmum ke-15) lebih awal ataupun kemungkinan PRN (pilihan raya negeri) lebih awal," ujarnya.

Bagaimanapun, Saarani mendedahkan, pada 2 Nov lalu, seorang ADUN UMNO telah ditemui seorang Exco kerajaan negeri untuk meminta sokongan, kononnya bagi membolehkannya menjadi Menteri Besar, menggantikan Ahmad Faizal.

Beliau mendakwa, usaha mendapatkan sokongan ADUN UMNO tidak terhenti setakat itu, sebaliknya terus berlaku pada 15 dan 22 Nov lalu.

"Saya cakap terus terang, kami tidak ada kepentingan apa, tapi jangan menuding jari kepada kami, sekali dituding jari, ada empat jari menuding balik. Don't be a hypocrite, jangan munafik. Pada pendapat saya, MB tahu," ujarnya.

Mengenai kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming bahawa pihaknya akan membuat laporan polis berhubung perkara itu, Saarani mengalu-alukannya.

"Apabila polis panggil saya, semua 24 ADUN UMNO juga akan pergi. Kita tidak takut langsung," tegasnya.