Dewan Pemuda Pas turut senada dengan pergerakan Pemuda UMNO yang menggesa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membuat permohonan maaf berhubung kenyataan menerusi sebuah portal berita atas talian yang disifatkan boleh mengundang ketegangan kaum.

Ketua Pemuda Pas Muhammad Khalil Abdul Hadi turut mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Menteri Kewangan itu dan mahu beliau menarik balik kenyataan berkenaan.

"Kenyataan itu biadap, tidak bertanggungjawab, membuktikan DAP adalah sebuah parti yang tidak mahu melihat orang Melayu Islam khususnya bersatu dan bersepakat.

"Dan kita di peringkat Pemuda, bersama-sama dengan Pemuda UMNO, MCA dan MIC telah membuat laporan polis pada Khamis dan insyaAllah kita akan teruskan lagi laporan-laporan yang lain pada hari berikutnya.

"Dan kita mahu pihak berkuasa, khususnya polis, menyiasat, kerana kenyataan ini sangat bahaya, boleh mengundang ketegangan kaum dalam negara kita," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program munajat dan solat hajat perdana peringkat negeri Terengganu yang diadakan di Masjid Rusila di sini malam tadi.

Kira-kira 3,000 orang hadir pada program munajat dan solat hajat perdana peringkat negeri Terengganu yang diadakan di Masjid Rusila malam tadi. Astro AWANI

BACA: Hasutan 'Perang Pas-UMNO': Baca kenyataan terbaharu saya! - Guan Eng

Beliau merujuk kepada kenyataan dibuat Lim dalam artikel bertajuk "Kerjasama Pas-UMNO adalah pengisytiharan perang kepada bukan Melayu" yang diterbitkan portal tersebut pada Rabu.

Artikel asal itu bagaimanapun telah diganti di bawah tajuk "Lim beri amaran UMNO-Pas akan mensasarkan bukan Melayu".

Menurut nota editor portal itu, Lim telah membetulkan kenyataan awalnya yang menggunakan perkataan "perang terhadap bukan Melayu".

BACA: Tak perlu hairan Pas mampu bertanding banyak kerusi - Abdul Hadi

Susulan itu, sesetengah media tempatan melaporkan Ketua Pemuda UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Lim.

Muhammad Khalil sementara itu turut menyifatkan pemimpin Pakatan Harapan sebagai tidak senang melihat permuafakatan antara Pas dan UMNO.