Tak perlu hairan Pas mampu bertanding banyak kerusi - Abdul Hadi

Tak perlu hairan Pas mampu bertanding banyak kerusi - Abdul Hadi
ABDUL HADI: Sumbangan ikhlas daripada pengikut pelbagai peringkat yang percaya janji adanya pahala kalau menolong perjuangan Islam. - Gambar fail
MARANG: Usah hairan jika Pas mampu bertanding banyak kerusi dalam pilihan raya.

Demikian ditegaskan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menjelaskan, parti itu bijak mencari pendapatan yang halal menerusi sumbangan ikhlas para pengikutnya.

"Mereka hairan mengapa kita boleh bertanding di banyak kerusi. Itu hal kita, (mereka) peduli apa? Ikut pandai kitalah... Ini hal kita. Kita pandai cari.

"Yang penting, pendapatan yang halal. Sumbangan ikhlas daripada pengikut pelbagai peringkat yang percaya janji adanya pahala kalau menolong perjuangan Islam," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, fitnah demi fitnah yang dilemparkan tidak menggugat penyokong parti itu.
BACA: Dewan Pemuda PAS juga mahu Guan Eng mohon maaf 

Malah, katanya, kekuatan Pas serta pengikutnya kini semakin bertambah.

Beliau berkata demikian selepas program munajat dan solat hajat perdana peringkat negeri Terengganu yang diadakan di Masjid Rusila di sini malam tadi.

BACA: Pas dan UMNO nafi satu logo pada PRU15

Jelasnya, ketika ini, pihaknya sedang mengusahakan untuk menyatukan umat Islam di negara ini dan membina semula kekuatan.

"Kita telah menghadapi satu fitnah yang mengatakan kita terima duit banyak. Takda duit tak boleh, ada duit pun tak boleh. Dia nak kita mati kering.

"Kekuatan kita makin bertambah, pengikut bertambah ramai, ahli jemaah kita lebih 1 juta di seluruh malaysia. Kalau RM100 sorang, kita ada RM100 juta. Pelik apa (dengan) 90 juta? 900 juta pun tak pelik," tambahnya.

Beliau merujuk kepada dakwaan pemimpin PAS menerima dana RM90 juta daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang diberi oleh UMNO.

BACA: Dana RM90 juta: Rameli, dua lain beri keterangan kepada SPRM

Sementara itu, lebih 3,000 jemaah termasuk exco kerajaan negeri telah hadir pada majlis malam tadi yang bertujuan memohon pertolongan daripada Allah bagi menghadapi cabaran fitnah yang dilemparkan ke atas parti itu.

Program dianjurkan Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu dan solat hajat diimamkan sendiri oleh Abdul Hadi.