'Kehilangan' bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman di pembukaan rasmi Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Sabah yang ke-15 hari ini masih menjadi tanda tanya.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional Sabah tersebut dilaporkan kini berada di luar negara bagi menjalani rawatan dan masih menunggu diagnosis pihak perubatan untuk membenarkan beliau menaiki kapal terbang untuk kembali ke Sabah.

Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu tidak kelihatan sepanjang istiadat persidangan berlangsung bermula pada jam 10 pagi tadi.

Ini kali kedua beliau tidak menghadiri sesi sidang DUN Sabah sejak ia pertama kali diadakan pada 1 Julai lalu.

Untuk rekod, Musa perlu mengangkat sumpah sebagai ADUN Sungai Sibuga dalam tempoh tiga bulan bermula 1 Julai lalu, apabila persidangan DUN Sabah diadakan buat kali pertama selepas pilihan raya umum.
Pada 10 Ogos lalu, Musa telah menfailkan permohonan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Syed Abbas Syed Ali supaya melanjutkan tempoh angkat sumpah beliau sebagai ADUN Sungai Sibuga berikutan masalah kesihatan dialaminya sekarang.

Kegagalan Musa berbuat demikian akan menyebabkan kerusi yang dimenangi beliau diisytiharkan kosong dan kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan di DUN Sungai Sibuga.

Musa yang diwakilkan oleh peguamnya, Tengku Fuad Tengku Ahmad dalam kenyataan medianya memaklumkan, surat permohonan itu yang disertakan dengan butiran kesihatan beliau telah diserahkan kepada Syed Abbas pada 30 Julai lalu.

BACA: DUN Sabah tidak terima surat dari Musa Aman atau peguam

Namun, Timbalan Speaker Sabah, Datuk George Ginibun dalam satu kenyataan balas pada Khamis lalu mengesahkan DUN Sabah masih tidak menerima sebarang surat ataupun pemberitahuan daripada Musa mahupun peguamnya.

Ginibun berkata, maklumat itu hanya diketahui melalui media namun pihak DUN tidak menerima surat yang sebenar