Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah dijangka tidak mampu bertahan lama dan akan berpecah tidak lama lagi.

Ketua Pembangkang Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau percaya keputusan gabungan bagi membentuk kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan berubah selewat-lewatnya pada Isnin.

Namun, kata beliau, pihaknya sentiasa akur dengan apa juga keputusan yang dibuat majoriti Ahli DUN (ADUN) Kedah walaupun gabungan terbabit disifatkannya ibarat 'gamat yang bercantum'.

"Mukhriz masih Menteri Besar. Kita akur dengan kehendak undang-undang dan pengumuman beliau bercantum balik dengan PH, walaupun dia (Bersatu) sudah keluar (dari PH).

"Tetapi di Kedah, (Bersatu) bercantum (dengan PH), ia jadi macam gamat. Kalau kena cincang, ia akan cantum balik. Kita tak ada masalah, tetapi kita memerhati dengan dekat.

"Kerana, kita yakin, pencantuman ini tidak akan bertahan lama. Dengan perkembangan di peringkat pusat, saya yakin akan ada perubahan di Kedah dan kita bersedia untuk apa sahaja.

"Selepas 2 Mac, akan berlaku perubahan, saya yakin akan berlaku perubahan, 100 peratus yakin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ceramah Perdana Hari Pertama Himpunan Anak Muda Istiqamah (HIMMPAH) di Kompleks Pas Kedah, malam tadi.

BACA: Pentadbiran kerajaan negeri Kedah kekal - Mukhriz

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, Pas dan UMNO Kedah di bawah kerjasama Muafakat Nasional sentiasa mengikuti rapat perkembangan politik tanah air.



Tambah beliau, Muafakat Nasional tidak pernah merancang untuk mewujudkan "kerajaan pintu belakang" dengan memancing beberapa ADUN PH.

BACA: Pengumuman Mukhriz bersifat sementara, untuk reda suhu politik - Shaiful

Bahkan katanya, Pas Kedah juga tidak pernah mengambil kesempatan di atas kecelaruan yang berlaku di dalam PKR sebaliknya sentiasa membuka pintu kerjasama dengan mana-mana pihak.

"Kita pun bukan opportunist sangat sehingga nak menggunakan pepecahan itu, tetapi kita memerhati dengan rapat mana mana pihak nak kerjasama dengan Muafakat Nasional.

"Kalau diluluskan oleh Pas dan UMNO pusat, kita akan buat kerjasama, sebab kita perlu lagi dua kerusi untuk jadi majoriti," katanya.

BACA: Keputusan Kedah ambil kira kepentingan rakyat - Mohd Azizuddin