Meskipun hanya mempunyai 18 dan sembilan kerusi, peranan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) tetap penting dalam menentukan Kerajaan Persekutuan sekarang.

Keputusan penentuan pasti terletak di tangan mereka, ketika kedua-dua parti di peringkat Persekutuan bersaing sengit untuk menguasai Putrajaya.

Namun berdasarkan pengalaman lalu dan perkembangan terkini, kedua-dua pihak dilihat akan memilih pihak yang besar, berkuasa dan menang.

Sebabnya, banyak lagi agenda pembangunan di negeri-negeri ini yang masih belum selesai.

Walaupun diberi kedudukan dalam kabinet, Kerajaan Sarawak dan Sabah dilihat cenderung untuk memilih mesra kerajaan, bukan lagi sebagai komponen parti seperti pada masa lalu.

BACA: Apa maksud 5 mesyuarat politik diadakan serentak hari ini?

BACA: 'Pemimpin negara kena sokong' - Ahli Parlimen Santubong

Ini kerana dengan berada di luar lingkungan parti besar, suara mereka lebih didengari dan bebas untuk membuat perancangan negeri masing-masing.

Hakikat ini lebih jelas apabila masing-masing merujuk status negeri tersebut ketika penubuhan Malaysia.

Justeru, berada di luar lingkungan, sambil memiliki autonomi adalah langkah yang lebih baik pada masa kini, tidak terlalu mengikut telunjuk parti pemerintah.

Dalam konteks perubahan kepimpinan, jika berlaku, kedua-dua kerajaan ini akan tunggu dan lihat, dan memerhati siapa yang betul-betul berkuasa.

BACA: Peralihan kuasa: Terpulang pada saya untuk melepaskan ataupun tidak - Tun M

Dalam konteks Kerajaan Persekutuan hari ini, kedua-dua negeri ini jelas terjejas dari segi perancangan pembangunan apabila banyak projek yang dirancang dan diluluskan, dibatalkan manakala janji-janji yang ditabur tidak ditepati ataupun dilewatkan.

Oleh itu, jika perubahan kepimpinan dan kerajaan berlaku, GPS dan Warisan mempunyai ‘kad penentu’yang harus dihormati, selain kedudukan yang jelas dalam Kabinet.



Waktu inilah, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal perlu membuat penentuan yang jelas.

Yang pasti, mereka dan parti mereka menjadi rebutan, baik jika Kerajaan Persekutuan mahu dibentuk oleh Tun Dr Mahathir Mohamad atau sesiapa sahaja.

Difahamkan kedua-dua mereka sudah ke Istana Negara, setelah menyertai perbincangan khas di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pda Ahad dan pastinya, perkembangan menarik sedang berlaku.