Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak wajar meneruskan serangan peribadi kepada pemimpin tertinggi parti rakan dalam Pakatan Rakyat (PR), kata Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz yang juga merupakan Ketua Whip Ahli Parlimen PAS menegur sikap Guan Eng yang mengatakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai penghalang utama bagi membentuk kabinet bayangan PR.

“Kesemua Ketua Whip DAP, PKR dan PAS telah bermesyuarat bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan berjaya mencapai kata sepakat iaitu isu kabinet bayangan PR tidak berbangkit atas faktor keutamaan perlu diberikan kepada proses mereformasikan institusi Parlimen.

“Setiap parti akan menghantar 2 orang wakil untuk menyertai jawatankuasa tersebut,” katanya.

Mahfuz juga menyeru Guan Eng merujuk kepada Ketua Whip DAP, Loke Siew Fook dalam hal kabinet bayangan sebelum “sibuk menyerang orang lain.”

“Saya berharap Lim Guan Eng dan barisan kepimpinan Pakatan Rakyat berhenti mengeluarkan kenyataan yang menyerang antara satu sama lain kerana ia bukan sahaja akan mengeruhkan lagi ikatan hubungan PR bahkan akan memeningkan kepala rakyat yang begitu berharap akan wujudnya kerajaan baru pengganti BN-UMNO pada PRU 14 kelak.

“Semua pimpinan PR perlu kembali ke meja rundingan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dengan suasana damai dan harmoni,” katanya.

Memetik laporan Sinar Harian pada Selasa, Guan Eng berkata, beliau tidak yakin kabinet bayangan PR akan menjadi satu kenyataan oleh kerana Abdul Hadi yang disifatkannya gemar membuat keputusan sendiri tanpa berbincang dengan rakan PR yang lain.

Dengan itu, DAP memutuskan untuk merangka kabinet bayangannya sendiri yang membariskan 34 pembuat dasar yang dikatakan bertanggungjawab terhadap 18 kementerian.

Bagaimanapun Guan Eng berkata, semua parti dalam PR masih mampu bersatu walaupun masing-masing mempunyai kabinet bayangan sendiri.

"Kabinet bayangan PR sukar dikawal kerana Hadi ada kuasa veto untuk menolak sebarang keputusan berasaskan persetujuan bersama. Hadi tidak akan berunding dengan kami berhubung sebarang hal terutama hudud, dengan itu saya percaya ia sukar dilaksana,” katanya.

Sebelum ini Wan Azizah mengakui tiada kesepakatan dalam PR untuk menubuhkan kabinet bayangan.

Beliau turut memberi alasan bahawa pembentukannya tidak dapat direalisasikan atas faktor kewangan dan PR tidak mempunyai infrastruktur untuk melaksanakannya kecuali pihak pentadbiran Parlimen membantu menanggung kos perbelanjaan dan kos-kos yang berkaitan.

"Parlimen seharusnya membantu penubuhan kabinet bayangan PR. Justeru itu,atas faktor kewangan dan tiada kesepakatan antara parti DAP, PAS, PKR, kabinet bayangan itu tidak dapat direalisasikan," katanya kepada pemberita.