Pakatan Harapan (PH) hari ini membentangkan Bajet Alternatif 2018 yang menggariskan lima perkara utama sebagai penyelesaian kepada bebanan rakyat dan masalah ekonomi negara.

Ia melibatkan perbelanjaan berjumlah RM258.52 bilion, merangkumi RM200.16 bilion untuk mengurus dan RM58.35 untuk pembangunan, menurut buku bajet PH yang dilancarkan hari ini.

Dengan cogan kata ‘Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih Harapan’, bajet PH mensasarkan untuk menghapuskan pembaziran dan rasuah, dianggar berjumlah RM20 bilion, serta pemotongan bajet Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Semasa pentadbiran (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2003, JPM berfungsi dengan peruntukan RM5 bilion.

"Menggunakan pengiraan ‘nilai masa wang’ dengan purata Indeks Harga Pengguna (IHP) 3.5%, peruntukan Dr Mahathir pada hari ini adalah RM8.40 bilion,” kata PH.

Antara yang digariskan Bajet Alternatif 2018 PH ialah, meneruskan aspirasi memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menghapuskan tol di seluruh negara, serta melaksanakan pendidikan awam percuma.

Mengetuai pembentangan yang diadakan di bangunan sementara Parlimen di sini, Pengerusi PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, bajet alternatif kali ini turut menawarkan peningkatan royalti minyak kepada Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

“Kita akan naikkan royalti untuk empat negeri ini kepada 20%, berbanding ketika ini yang hanya 5%,” katanya.

Bajet alternatif yang kali ketiga dikeluarkan PH ini juga disifatkan paling ‘mesra wanita’ dengan azam untuk meningkatkan jumlah wanita dalam ahli lembaga syarikat sebanyak 30%.

Cuti bersalin juga akan ditingkatkan daripada 90 hari kepada 120 hari dengan bayaran gaji penuh.

Antara lain, dalam bajet terbaharu ini juga, PH berhasrat meneruskan Baucar Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan pembayaran kepada kelompok kategori yang sama.

Bagaimanapun, menurutnya, ia tidak akan diberikan secara terus dan perbelanjaan wang BR1M akan dihadkan bagi mengelak ia dibelanjakan pada barangan yang tidak perlu.

PH juga akan melaksanakan sistem pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang akan bermula apabila pendapatan peminjam mencecah sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan.