Tutup

Hishammuddin calon terbaik Setiausaha Agung BN - penganalisis

Hishammuddin calon terbaik Setiausaha Agung BN - penganalisis
Ketiga-tiga pemimpin tertinggi parti komponen BN bersetuju Hishammuddin dilantik memegang jawatan Setiausaha Agung BN. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein merupakan calon terbaik untuk menggalas tugas sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), kata penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakob.

Hujah Dr Mohammad Tawfik, sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman dan mempunyai hubungan yang baik dengan banyak pihak, Hishammuddin merupakan pilihan terbaik untuk jawatan tersebut dalam usaha BN memulihkan imej parti.

Beliau juga berpendapat, ketika ini BN memerlukan seorang pemimpin yang mudah diterima oleh pemimpin dan ahli-ahli parti komponen.

"Hishammuddin juga seorang pemimpin yang boleh berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin pembangkang dan ini merupakan ciri-ciri seorang pemimpin yang BN perlukan.

"Dalam keadaan BN kini merupakan pembangkang dan mahu memulihkan keyakinan rakyat, pemimpin seperti Hishammuddin yang diterima oleh semua kaum sangat diperlukan.

"Oleh itu, usaha melantik beliau sebagai Setiausaha Agung BN merupakan satu langkah yang bijak dan tepat," katanya kepada Astro AWANI.
Ketokohan Hishammuddin, kata Dr Mohamad Tawfik, tidak boleh dipandang ringan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan juga pemimpin parti komponen BN.

Beliau berkata, pemimpin-pemimpin UMNO perlu belajar daripada kesilapan sebelum ini dan perlu memastikan ia tidak berulang lagi ketika usaha memulihkan BN sedang giat dijalankan.

"Jangan pentingkan diri sendiri, utamakan usaha memulih dan mengukuhkan BN dengan meletakkan pemimpin yang sewajarnya.

"Hishammuddin adalah pilihan tepat untuk jawatan Setiausaha Agung BN kerana beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bidang politik," katanya lagi.

Bagi Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian pula, Hishammuddin mempunyai watak dan skil komunikasi yang boleh membawa semua kaum untuk duduk bersama.

Katanya, sikap sederhana Hishammuddin sangat disenangi oleh ramai ahli politik tidak kira dari dalam BN ataupun parti lawan yang merupakan parti pemerintah.
"Hishammuddin mempunyai kebolehan untuk mencari kesepakatan dalam BN, walaupun mungkin ada kalangan pemimpin UMNO yang tidak menyukai pendekatan yang beliau gunakan.

"Kepada pemimpin-pemimpin ini, apa yang harus dilakukan ialah meletakkan kepentingan BN melebihi segalanya dan ketika ini, individu seperti Hishammuddin adalah yang paling layak untuk jawatan Setiausaha Agung BN.

"Dalam kedudukan semasa, personalti yang dimiliki oleh Hishammuddin mampu untuk memobilisasikan sokongan dari semua kaum," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau juga berpendapat, pengalaman dan tradisi hubungan dengan pemimpin komponen ketika menggalas jawatan Ketua Pemuda UMNO mampu diteruskan oleh Hishammuddin jika mengalas jawatan itu.

"Cabaran yang bakal ditempuhi Hishammuddin jika dilantik memegang jawatan Setiausaha Agung BN ialah untuk memastikan parti itu menjadi gabungan pembangkang yang berfungsi dalam memainkan peranan semak dan imbang dengan efektif," katanya lagi.

Sebelum ini, portal berita Malaysia Gazette yang memetik sumber melaporkan, tiga pemimpin BN iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran; dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong telah mengadakan perjumpaan pada 27 Ogos lalu.

Menerusi perjumpaan tersebut, ketiga-tiga pemimpin tertinggi parti komponen tersebut bersetuju dengan perubahan jawatan dalam gabungan berkenaan dengan mencadangkan Hishammuddin dilantik memegang jawatan Setiausaha Agung BN.

Namun sumber dalaman BN memaklumkan kepada Astro AWANI, Zahid menawarkan jawatan tersebut ketika pertemuan empat mata antara beliau dengan bekas Naib Presiden UMNO itu di tingkat 30, hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketika ini, jawatan Setiausaha Agung BN digalas oleh Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Bendahari UMNO.

BACA: Setiausaha Agung BN baharu? Tunggu selepas mesyuarat BN - Hishammuddin

Tag: Barisan Nasional, UMNO, BN, Hishammuddin Hussein, setiausaha agung, Dr Mohammad Tawfik Yaakob


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.