Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa bersedia menyahut cabaran debat terbuka dengan sesiapa sahaja, termasuk Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Husam turut menyerahkan kepada Mustafa untuk menentukan tarikh serta tajuk debat berkenaan.

"Saya setuju debat dengan siapa saja, termasuk Cikgu Pa. Sedikit sebanyak, adalah juga pengalaman saya berdebat lebih kurang.

"Berpeluang berdebat dengan guru politik sehebat beliau tentunya satu penghormatan pada saya.

"Beliau boleh menentukan tarikh dan tajuk debat terbuka itu. Seumpama program: Saya Tanya Anda Jawab," katanya dalam satu kenyataan yang diemailnya dari Pulau Bodhi, China, hari ini.

Mustafa, sebelum ini dilaporkan mengajak Husam untuk bersemuka dalam majlis terbuka bagi mendapatkan penjelasan berhubung beberapa kritikannya terhadap kepimpinan parti itu, khususnya membabitkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau turut mencadangkan pertemuan itu perlu melibatkan penyertaan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, yang turut dikaitkan Husam sebagai salah seorang pemimpin PAS berjumpa dengan UMNO bagi menyatukan dua parti itu beberapa tahun lalu.

Mengulas lanjut mengenainya, Husam berkata, beliau tidak berniat untuk memalukan Presiden PAS tetapi lebih kepada untuk mendedahkan kebenaran.

"Saya tidak berniat memalukan Presiden saya, tetapi hanya ingin menonjolkan satu fakta sepanjang perundingan belakang tabir antara Pas-UMNO sejak Tok Guru masih hidup lagi.

"Cadangan Cik Gu Pa untuk turut memanggil YB Khalid Samad dengan sendirinya membenarkan dakwaan saya adanya pertemuan itu, bukan menafikannya," katanya.