Penganjur Program Iftar Perdana AMK Malaysia menolak dakwaan program tersebut terpesong daripada agama Islam dan budaya tradisi Melayu.

Menurut ketua sekretariat program Luqman Zainal Abidin, timbulnya salah faham oleh presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin disebabkan tidak mendapatkan maklumat yang lengkap dan komprehensif mengenai program tersebut.

Bagaimanapun, kata Luqman, pihaknya menerima teguran tersebut dengan hati yang terbuka walaupun sedikit kesal kerana usaha aktivis muda itu dipandang remeh.

"Kami merasa agak kesal kerana terdapat pelbagai usaha meremehkan usaha aktivis muda tatkala AMK dibelenggu dengan isu kepimpinan yang lemah dan tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Program berbuka puasa itu disertai lebih 62 orang Ketua AMK Cabang dan 500 orang ahli dari seluruh negara.

Namun begitu, Anwar berasa kesal apabila dimaklumkan penganjuran tersebut menerima bantahan daripada pihak tertentu yang mengatakan program tersebut disambut dengan lagu serta bunga api.

BACA: Anwar mohon maaf program berbuka puasa seperti pesta

Selain itu, Anwar turut memohon maaf berhubung tindakan Pemuda parti itu yang mengadakan program berbuka puasa seperti sebuah pesta.

Tambah Luqman, selepas berbuka, kesemua yang hadir di program tersebut menunaikan solat Isyak dan Terawih berjemaah.

Peserta juga membuat rakaman takbir raya, diperdengarkan tazkirah selain dipersembahkan dengan lagu raya oleh kumpulan KGB.