Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menjelaskan Lembaga Displin Parti telah menghantar surat pemecatan dua ahlinya Zakaria Abdul Hamid dan Ismail Dulhadi semalam (Khamis).

“Kita tidak terima secara rasmi rayuan, perlembagaan parti memperuntukkan 14 hari bagi tempoh rayuan setelah dipecat. Lembaga Displin telah hantar surat semalam, jadi dia boleh buat rayuan dua minggu dari tempoh semalam," katanya

Meskipun terdapat gesaan pihak tertentu yang menempelak tindakan pemecatan itu dibuat, namun ujar Fahmi, pimpinan parti akan meneliti terlebih dahulu perkara itu sebelum sebarang pengumuman dibuat.

“Memang Biro Politik, Presiden, Majlis Pimpinan Pusat akan teliti perkara ini. Lembaga Displin Parti telah menghantar surat isu pemecatan Zakaria dan Ismail, kita biar proses rayuan itu mengambil tempat sebelum sebarang pengumuman akan dibuat nanti," katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang media Kongres Nasional PKR 2019 di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada Jumaat.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim pada 24 November lalu mengumumkan pemecatan Zakaria yang juga Ketua Cabang PKR Bera dan ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi.

Ia selepas mereka dipercayai terbabit dengan kes rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu.

BACA: Dua ahli PKR Pahang dipecat, dipercayai terlibat rasuah