Sebahagian Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegur kenyataan Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan mereka sebagai tidak berasas dan boleh memecah-belahkan parti.

Dalam satu kenyataan media pada Khamis, kesemua 22 ahli MPP dan empat Ahli Parlimen dari parti berkenaan sepakat bahawa kenyataan itu hanya berdasarkan spekulasi semata-mata.

Kenyataan dibuat oleh Ahli - Ahli Majlis Pimpinan Pusat berikut:

1. YB Puan Hajjah Zuraida Kamaruddin - Naib Presiden

2. Saudara Chua Tian Chang - Naib Presiden

3. YB Ali Biju - Naib Presiden

4. YB Haniza Talha - Ketua Wanita / Ahli MPP

5. YB Dato’ Sri Dr Santhara - Timbalan Setiausaha Agung / Ahli MPP

6. YB Amirudin Shari - Ahli MPP

7. YB Dato’ Rashid Hasnon - Ahli MPP

8. YB Sivarasa Rasiah - Ahli MPP

9. Saudari Rahimah Majid - Ahli MPP

10. YB Elizabeth Wong - Ahli MPP

11. YB Dato’ Saifuddin Abdullah - Ahli MPP

12. Saudara Zakaria Abdul Hamid - Ahli MPP

13. Saudara Mohd Radzlan Jalaludin - Ahli MPP

14. YB Dato’ Dr Mansor Othman - Ahli MPP

15. YB Dato’ Kamarudin Jaafar - Ahli MPP

16. YB Azmizam Zaman Huri - Ahli MPP

17. Saudari Gan Pei Nei - Ahli MPP

18. YB Hee Loy Sian - Ahli MPP

19. YB Lee Kai Loon - Ahli MPP

20. YB Baru Bian – Ahli MPP / Pengerusi MPN Sarawak (MP)

21. YB Dr Daroyah - Timbalan Ketua Wanita / Ahli MPP

22. YB Muhammad Hilman Idham - Timbalan Ketua AMK / Ahli MPP

Ahli - Ahli Parlimen:

1. YB Steven Choong - (Tebrau)

2. YB Jonathan Yasin - (Ranau)

3. YB Willy Mongin - (Puncak Borneo)

4. YB Maria Chin Abdullah - (Petaling Jaya)


Kenyataan media PKR
Sehubungan itu, kesemua mereka menggesa Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berhenti daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan perpecahan dalam kesatuan parti.

“Kami akan bersama (Datuk Seri) Mohamed Azmin Ali dan mana-mana pimpinan lain sekiranya mereka diserang dengan cara yang tidak bermoral seperti ini.

“Kami menyeru Presiden untuk segera menggembeling perpaduan anggota demi keutuhan Keadilan, Pakatan Harapan dan negara yang tercinta ini,” kata kenyataan itu lagi.

Anwar pada Rabu berpendapat timbalannya, Mohamed Azmin perlu mengambil cuti jika video intim yang mengaitkan beliau itu sahih dirinya.

BACA: Nasihat Anwar pada Azmin, ambil cuti jika video intim sahih

Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, tegas Anwar, tidak perlu berbuat demikian jika siasatan mendapati sebaliknya.

Susulan kenyataan Anwar itu, Mohamed Azmin pula membidas orang nombor satu PKR itu dengan meminta Anwar supaya muhasabah serta memintanya melihat cermin terlebih dahulu.

BACA: Video intim: Azmin minta Anwar muhasabah, cermin diri sendiri

Kenyataan ahli MPP dan Ahli Parlimen PKR itu juga menegaskan, sebagai Presiden parti, Anwar sewajarnya memberikan kepimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan Mohamed Azmin.

Tambah kenyataan itu lagi, Anwar juga harus fokus pada perlakuan jenayah konspirator yang telah secara terancang menularkan video seks yang jijik dengan niat jahat.

“Kita hairan kerana ketika video fitnah ini ditularkan, beliau telah mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan mengatakan bahawa Mohamed Azmin tidak perlu melepaskan jawatannya.

“Justeru berdasarkan penafian tegas Mohamed Azmin berkaitan hal ini, Presiden sewajarnya mempertahankan Timbalan Presiden demi memelihara muafakat utuh Keadilan dan tidak sama sekali cuba menggasir kedudukan timbalan presiden dalam kerajaan tanpa sebarang asas yang kukuh,” jelas kenyataan itu lagi.

Anwar juga, dinasihatkan ahli MPP agar menyorot kembali asas perjuangan reformasi di mana seluruh kepimpinan dan anggota Keadilan berdiri teguh mempertahankan beliau daripada fitnah jahat.

“Mohamed Azmin secara konsisten telah mempertahankan beliau dan keluarganya selama lebih 20 tahun daripada semua tuduhan ‘gutter politics.’

“Maka, kami ingin menegaskan bahawa Keadilan wajib berdiri teguh dan konsisten menentang politik kotor yang digunakan dalam komplot untuk menjatuhkan Timbalan Presiden,” kata kenyataan itu.

Pada hari yang sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kepada Mohamed Azmin untuk membuat pertimbangan sama ada bercuti atau meneruskan tugas seperti biasa.

BACA: Terserah pada Azmin untuk bercuti atau teruskan kerja - PM