Bekas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mempertahankan keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) melantik Rafizi Ramli sebagai naib presiden parti itu.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun tewas pada pemilihan lepas, Rafizi antara penerima undi tertinggi.

“Itu hak kepada Presiden untuk memilih sesiapa, Rafizi pun dalam pertandingan lepas dapat undi yang banyak,” jawabnya ringkas ketika ditanya mengenai pandangan beliau mengenai perlantikan tersebut.

Beliau ditemui selepas menghadiri Karnival Aspek Wanita Pandan dan Program Back To School anjuran Pusat Khidmat Parlimen Pandan di Dewan Kampung Pandan Dalam pada Sabtu.

BACA: Kenapa lantik individu yang pecahkan parti? Soal Azmin kepada Anwar

BACA: Lantik Rafizi, isyarat Anwar perlu pemimpin yang boleh bekerjasama - Penganalisis

Pelantikan Rafizi diumumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan pada Jumaat selepas mesyuarat MPP memutuskan jawatan lantikan bagi parti itu.

Anwar dalam satu kenyataan berkata, pelantikan ini melambangkan gandingan pimpinan dari seluruh pelusuk negara yang berbilang kaum, merangkumi tua dan muda, lelaki dan perempuan yang merupakan kekuatan PKR.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali berkata pelantikan beberapa individu tertentu dalam kepimpinan tertinggi parti itu dilihat tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’.

Katanya, pelantikan itu juga tidak akan membantu parti untuk maju.