Sebilangan besar pihak yang dikatakan berhimpun di Putrajaya membantah pengguguran Datuk Seri Ong Ka Chuan daripada mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Malim, tidak tahu menahu motif sebenar perhimpunan tersebut.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib, berkata malah kebanyakan daripada mereka, terutamanya Orang Asli, berasa tertipu digunakan untuk perhimpunan itu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu berkata, ada juga sebahagian daripada mereka tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti komponen BN.

"Mereka memaklumkan kepada saya, mereka tidak diberitahu dengan jelas tujuan dibawa ke Putrajaya, dan sebilangan besar daripada mereka bukan pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Malim.

"Kami, BN Tanjung Malim langsung tidak bersetuju dengan tindakan pihak tertentu yang berhimpun di Putrajaya (pada Khamis) bagi membantah keputusan pucuk pimpinan parti tidak mencalonkan Datuk Seri Ong Ka Chuan mempertahankan kerusi P077 Tanjung Malim," katanya dalam satu kenyataan media di sini.

BACA: 'Tidak adil tuduh Ka Chuan, Dr Kamarul dalang perhimpunan di Putrajaya'

Khusairi berkata, tindakan tersebut dilihat amat serius dan bertentangaan dengan amalan BN yang menghormati setiap keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan parti khususnya dalam soal pemilihan calon.

Beliau juga menasihatkan Ka Chuan supaya segera meredakan perasaan pengikutnya dan memberikan contoh yang baik demi perpaduan rakyat di Tanjung Malim.

"Selaku Setiausaha Agung MCA, beliau juga hendaklah menghormati keputusan presiden partinya sendiri yang mencadangkan nama Pengerusi MCA Perak, Datuk Mah Hang Soon untuk bertanding di Parlimen Tanjung Malim.

"Malah, ketika Ka Chuan dicalonkan di kerusi ini dalam PRU12 pada tahun 2008, jentera BN di Tanjung Malim tidak mengenali siapakah beliau yang datang secara tiba-tiba selaku calon, tetapi mengambil sikap untuk mengutamakan parti dan mengikut keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan.

"Beliau perlu ingat bahawa dirinya juga bukanlah orang tempatan Tanjung Malim, tetapi telah diterima baik dan telah memenangkannya sebagai calon di kawasan ini yang majoriti terdiri daripada pengundi Melayu," ujarnya lagi.

Tambah Khusairi, Ka Chuan juga merupakan satu-satunya calon MCA yang mencapai kemenangan di kerusi Parlimen di Perak kerana keutamaan pengundi di Tanjung Malim bukanlah terhadap individu, tetapi lebih kepada memastikan BN terus dapat memerintah negara.

Menurut Khusairi, selaku Pengerusi BN Tanjung Malim, beliau ingin mengingatkan semua ahli parti komponen BN terikat dengan peraturan dan disiplin yang termaktub dalam perlembagaan.

"Saya menyeru kepada ahli-ahli parti BN Bahagian Tanjung Malim supaya terus menghormati keputusan pucuk pimpinan parti.

"Kita harus terus bekerja keras bagi memastikan calon-calon BN memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan, dengan mengekalkan kemenangan di Parlimen, DUN Slim, DUN Behrang dan merampas kembali DUN Sungkai," katanya lagi.