Barisan Nasional (BN) Perak tidak akan serta-merta menunding jari menyalahkan Datuk Seri Ong Ka Chuan sebagai dalang di sebalik perhimpunan membantah pencalonan kerusi Parlimen Tanjung Malim.

Pengerusinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, ia juga tidak adil untuk turut menuduh timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh, bersama-sama Ka Chuan bertanggungjawab mencetuskan bantahan tersebut.

Menurutnya, BN Negeri tidak akan akan sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman ekoran kepada Ka Chuan dan Dr Kamarul sebelum mendapatkan fakta sebenar kejadian.

"Kita akan dapatkan maklumat lanjut, adalah tidak adil bagi saya untuk menjatuhkan hukuman terus kepada Datuk Seri Ong Ka Chuan, atau kepada Datuk Dr Kamarul.

"Kita tidak tahu, mungkin ada pihak tertentu... biasalah, musim PRU banyak permainan-permainan yang cuba dimainkan. Jadi, tidak adil untuk saya katakan mereka (Ka Chuan dan Dr Kamarul) adalah dalang di atas tindakan ini, kita akan dapatkan maklumat lanjut," katanya di Majlis Pelancaran Rumah Amanjaya Batu 14 dan Batu 10, di sini, pada Khamis.

BACA: Ka Chuan diminta tenangkan pengikutnya - Khusairi

Zambry berkata, BN Perak akan menyerahkan keputusan kepada pihak komponen BN terhadap isu protes membabitkan Setiausaha Agung MCA itu setelah mendapat gambaran sebenar.

"Bila kita menamakan calon-calon untuk PRU, biasanya akan ada yang kurang senang, merajuk, tidak berpuas hati dan sebagainya. Kita memahami. Dalam konteks BN, segala keputusan dibuat berdasarkan musyawarah.

"Kita belum dapat laporan penuh, apa yang berlaku sebenarnya, siapa di belakangnya, kadangkala kita merasakan bahawa kita ada sokongan, tapi kita tak tahu calon baru pun lebih banyak sokongan," katanya.

Media pada Sabtu melaporkan hampir 500 penduduk Tanjung Malim berhimpun di hadapan bangunan Jabatan Perdana Menteri bagi membantah pengguguran Ka Chuan sebagai calon PRU14.

Ka Chuan digugurkan dari pencalonan kerusi tersebut dan diganti Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon sebagai calon BN di Parlimen Tanjung Malim.