Kelancaran kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang memasuki hari kelapan dicemari dengan isu kain rentang berunsurkan provokasi dan perkauman.

Ayat yang tertera di kain tersebut menjadi viral sejak pagi tadi dan difahamkan terdapat sekurang-kurangnya tiga kain rentang sama di Kampung Pasir, Kampung Siliau dan simpang menghala pekan Rantau.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, itu cara pihak tertentu membuat serangan psikologi.

“Takkan saya nak buat begitu. Saya kini sedang bekerja keras untuk meningkatkan sokongan daripada kaum India kepada saya.

“Ikut logik tak perlu poster begitu. BN tak perlu buat banner provokasi macam itu. Bodohlah saya kalau buat macam itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Rantau, Negeri Sembilan hari ini.

BACA: Kain rentang provokasi cemar kempen PRK Rantau

Kain rentang berkenaan ditulis dalam loghat Negeri Sembilan dan Minangkabau beserta gambar tanda pangkah undi di sebelah logo BN.

“Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis tolong siasat dan ambil tindakan kepada pihak yang melakukan provokasi itu.

“PRK Rantau sehingga 13 April sahaja. Selepas itu penduduk akan hidup bersama-sama semula. Masyarakat di sini hidup berbilang kaum dalam keadaan harmoni,” katanya lagi.