Pakatan Harapan (Harapan) Negeri Sembilan memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan kesemua gambar bekas Perdana Menteri itu yang terpampang pada 40 papan iklan kempen parti di daerah ini terpaksa ditutup.

Menurut Timbalan Pengerusi Harapan Negeri yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan Anthony Loke Siew Fook, tindakan itu terpaksa dibuat selepas diarahkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memberi amaran jika tidak berbuat demikian, ia akan dirobohkan.

“Ini satu tindakan yang tak sanggup kita buat, tapi tiada pilihan dan sejak semalam, kita tutup semua gambar Tun.

"Saya sendiri secara peribadi akan mohon maaf kepada Tun sebab bagi saya arahan SPR ini tidak masuk akal dan terlalu rigid.

“Ini soal cara berkempen dan Tun adalah calon perdana menteri kita. Kenapa gambar Tun dijadikan isu sedangkan ada perkara lebih besar yang patut dilihat oleh SPR?

“Jika bahan kempen kita mengundang bahaya, kita tiada masalah untuk alih atau turunkan, tapi ini hanya gambar Tun.

Gambar Dr Mahathir pada billboard terpaksa ditutup. - Foto Sinar Harian
"Jadi kepada penyokong dan pengundi khusus di Parlimen Seremban, jika lihat gambar Tun ditutup itu bukan kerja sabotaj, tapi kita sendiri yang menutupnya kerana itu kehendak SPR,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau turut menemplak BN yang seolah-olah takut dengan pengaruh Tun sehingga gambar negarawan itu langsung tidak boleh dipaparkan.

BACA: Hanya gambar Presiden, Timbalan Presiden boleh diguna dalam kempen - SPR

Bagaimanapun Siew Fook yang merupakan calon DAP Parlimen Seremban berkata, pihaknya tidak sesekali akan membuat aduan kepada SPR terhadap MCA atau BN meskipun ada gambar pemimpin dari negara Cina dan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang terpampang pada poster kempen parti itu.

“Kalau ikut peraturannya hanya gambar presiden parti dibenarkan.

"Tapi tidak mengapalah, kita lawan secara jantan. Dia nak letak gambar siapa, itu hak parti masing-masing. Kita nak biar rakyat tengok betapa SPR dan BN berat sebelah,” katanya.

Sementara itu, calon PKR Dun Ampangan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek mahu pihak SPR membayar ganti rugi berikutan tindakannya meruntuhkan dua struktur papan iklan berukuran 10x20 milik parti itu.

Katanya, jika menjadi kesalahan gambar Tun dipamerkan, SPR boleh memotong atau menggelapkan gambar Tun dan bukannya merosakkan keseluruhan papan iklan.

“Istilah SPR menurunkan, tapi sebenarnya mereka meruntuhkan.

"Bagi saya SPR bertindak berat sebelah kerana billboard (papan iklan) BN yang memaparkan gambar Presiden Negara Cina, Jack Ma dan ramai lagi yang bukan calon atau presiden atau timbalan presiden parti, tidak pula diturunkan,” katanya.

Manakala Pengerusi Harapan Negeri Sembilan, Aminuddin Harun pula menyifatkan yang sistem demokrasi di negara ini semakin terhakis.

“Saya khuatir semasa hari pengundian akan berlaku pelbagai lagi masalah.

"Saya minta SPR bagi maklumat sepenuhnya kepada semua calon untuk terima maklumat yang serupa supaya tak berlaku masalah pada hari pengundian,” katanya.