Keanggotaan 22 ahli PAS yang mengisytiharkan diri mereka menyertai Parti Pekerja-pekerja Malaysia (PPM) selepas diambil alih oleh Gerakan Harapan Baharu (HB) gugur secara automatik.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, surat pengguguran keahlian itu akan dikeluarkan kepada mereka dalam tempoh terdekat.

"Berdasarkan Fasa 15 (1) (c) Perlembagaan PAS, mana-mana ahli yang menyertai parti lain, keahlian akan gugur secara automatik.

"Sehubungan itu, PAS tidak perlu mengambil sebarang tindakan disiplin, cuma kita hanya perlu hantar surat kepada mereka untuk urusan pentadbiran.

"Mereka boleh memohon untuk kembali menjadi ahli PAS, namun ia bergantung kepada parti untuk menerima atau menolak permohonan mereka," katanya pada sidang akhbar di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini, hari ini.

Takiyuddin berkata, bagi ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri, surat penguguran akan dihantar bersama bai'ah atau sumpah yang ditandatangani sewaktu ingin menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.


Mengulas lanjut mengenai bai'ah dan lafaz taklik yang dipersetujui oleh anggota PAS itu, Takiyuddin berkata ia tidak memberi kesan dari segi perundangan.

"Dari segi undang-undang, ia tak ada 'legal effect' (kesan perundangan), tapi ia 'moral obligation' (kewajipan moral)," katanya.

PAS memperkenalkan bai'ah atau sumpah kepada wakil rakyatnya di seluruh negara yang bertanding atas tiket parti itu sejak 2004 yang mesti mengosongkan kerusi mereka jika meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan sukarela.

Selain itu, bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan menambah syarat bahawa wakil rakyat PAS di Kelantan perlu bertaklik dengan melafazkan cerai talak tiga terhadap isteri masing-masing.

Semalam, Pengerusi HB Mohamad Sabu mengumumkan gerakan itu telah mengambil alih dan akan menjenamakan semula PPM sebagai Parti Amanah Negara (Amanah).

Butiran parti itu akan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) secepat mungkin bagi mendapatkan kelulusan.

Pada sidang akhbar sama, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut mengumumkan jawatankuasa Amanah, yang diketuai beliau sebagai pengerusinya, Ahmad Awang penasihat umum, bekas naib presiden PAS Salahudin Ayub timbalan pengerusi dan anggota Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa naib pengerusi.

HB merupakan platform bagi golongan profesional PAS yang dikatakan kecewa selepas ditolak anggota parti itu melalui muktamar tahunannya Jun lepas.