Kerjasama antara calon lama yang berpengalaman dan calon muda baharu diyakini mampu mencetuskan satu magis sekali gus menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Pengerusi Gabungan Belia Bahagian Pantai Barat Selatan, Mohd Salim Japaran berkata, hal itu penting memandangkan calon muda mempunyai ketrampilan dan idea-idea untuk menjadi pemimpin serta dapat membantu pemimpin lama untuk mentadbir negara.

Sehubungan itu katanya, golongan belia di Sabah berharap agar lebih ramai calon dari kalangan orang muda ditampilkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Sudah sampai masanya golongan muda ini ditampilkan sebagai calon baharu pada PRU14 dan bekerjasama dengan calon-calon lama.

"Pengalaman calon lama dan idea calon muda baharu akan membawa magis serta kesinambungan kepada kepimpinan negara sekali gus memberi manfaat untuk rakyat," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Rabu.

BACA: #MalaysiaMemilih: BN Sabah sedia tampilkan calon muda - Yamani

BACA: Pemuda BN sedia manifesto kecil untuk pengundi muda

Selain itu, Mohd Salim turut menyokong penuh usaha Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Pemuda BN Sabah, Yamani Hafez Musa yang sering memperjuangkan calon-calon muda pada PRU14.

Mengulas mengenai TN50, beliau berkata, transformasi itu akan tercapai sekiranya orang muda bersama-sama dalam kepimpinan kerana mereka merupakan jambatan golongan muda di akar umbi dan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mengetepikan idea dan peranan pemimpin dan calon lama dalam usaha merealisasikan TN50.

"Itulah yang saya katakan, gabungan antara calon lama dan muda baharu ini akan mencipta magis dalam usaha kita menjayakan TN50," katanya.