Tutup

Ketakutan DAP dengan penyatuan ummah UMNO-Pas - Bastien

Ketakutan DAP dengan penyatuan ummah UMNO-Pas - Bastien
BASTIEN: Pas dibiarkan keseorangan di dalam PRU yang lalu bukan oleh UMNO tetapi kerana lahirnya Pakatan Harapan (PH) yang mengenepikan Pas. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ketakutan yang terbayang tentang agenda penyatuan ummah terutama daripada Pengarah Pendidikan Politik DAP, Senator Liew Chin Tong membuktikan parti itu trauma terhadap usaha dibuat UMNO-Pas selama ini.

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menegaskan, ia dikukuhkan lagi dengan kenyataan Chin Tong yang dinyatakan berulang kali dalam isu sama termasuk kedudukan Pas sendiri sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lepas.

“Pas dibiarkan keseorangan di dalam PRU yang lalu bukan oleh UMNO tetapi kerana lahirnya Pakatan Harapan (PH) yang mengenepikan Pas. DAP yang telah meleraikan PH dan mengecewakan Pas.

“Saya masih ingat episod betapa sukarnya Menteri Besar Selangor ketika itu mempertahankan kerjasama mereka di peringkat negeri apabila menguburkan Pakatan Rakyat (PR) di peringkat pusat.

“Apa yang jelas, mereka melakukan ini demi meraih sokongan masyarakat Cina yang ketakutan dengan agenda perjuangan Pas. Hasilnya, mereka mendapat 93 peratus pengundi Cina di dalam PRU ke-14 yg lalu,” katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.

BACA: Pas sambut baik saranan Tun Mahathir, tapi kekal taawun dengan UMNO

BACA: 
Kerajaan Penyatuan Ummah: UMNO cadang kerajaan campuran di empat negeri

Chin Tong di dalam sebuah akhbar baru-baru ini menyatakan keputusan sesebuah pilihanraya ditentukan oleh pengundi umur pertengahan.

Jelasnya, dengan kemasukan 7.9 juta pengundi baru, hasil daripada keputusan umur pengundi berusia 18 tahun dan pendaftaran automatik, serta kerjasama UMNO-Pas, ada pengkritik meramalkan PH kehilangan kuasa pada PRU ke-15 nanti.

Dalam pada itu kata Bastien, ada kebenaran tentang ada yang ditulis Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Pertahanan namun ada juga kenyataan yang separa betul selain ada yang palsu semata-mata.
“Apa yang menariknya, kesan daripada pola pengundian yang berlaku pasca PRU ke-14, timbul pula kesedaran yang tinggi terhadap kesatuan bangsa Melayu.

“Orang Melayu tersedar jika masyarakat Cina boleh bersatu hati bertekad mengundi DAP tanpa mengambil kira pun pencapaian, keramahan, kejujuran serta kerja kuat sesetengah calon; maka sudah tiba masanya bangsa Melayu pula bersatu.

“Saya mengambil contoh Ahli Parlimen Segamat yang juga Presiden MIC sebelum ini, beliau merupakan Ahli Parlimen yang benar-benar berkhidmat dan berjasa kepada penduduk Segamat tetapi pengundi-pengundi Cina mengambil pendekatan untuk mengundi secara blok kepada DAP,” jelasnya.

Di atas kesedaran itulah tegasnya, maka pemimpin-pemimpin Melayu dan ahlinya menghidangkan kerjasama UMNO-Pas di atas nama penyatuan ummah.

Tambahnya, ia sekali gus menunjukkan dengan jelas ulangan kepada reaksi masyarakat Melayu pasca PRU ketiga pada tahun 1969 tetapi bezanya kali ini bertindak dengan kematangan berbanding pada tahun tersebut dengan menyambut baik penawaran penyatuan ummah dan bukan melalui jalanan.

Berbalik kepada soal pengundi 'middle ground group' yang diperkatakan Chin Tong, Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO Segamat memberitahu, parti itu sedang melalui proses pemulihan dan penjenamaan semula.

“Golongan pertengahan yang dikatakan atas pagar ini dibimbangi akan mempersoalkan kedudukan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selain Datuk Seri Najib Tun Razak dan banyak pemimpin yang sedang menghadapi tuduhan rasuah tetapi masih bersama UMNO.

“Saya ingin nyatakan kepada mereka bahawa tidak ada cara lain yang lebih baik untuk membersihkan nama dan menjawab tuduhan kecuali melalui proses pengadilan mahkamah.

“Pemimpin UMNO sedang diadili dan sekiranya mereka didapati bersalah maka mereka akan dihukum dan secara tak langsung mereka tidak akan terlibat lagi di dalam aktiviti parti. Manakala yang tidak bersalah pula, nama mereka akan dibersihkan dan boleh meneruskan karier politik di dalam parti,” ujarnya.
Berbanding dengan PH kata Bastien, mereka yang sedang menikmati kekebalan sebagaimana Najib terdahulu mengelak daripada dibicarakan dengan kuasa yang ada.

“Pemimpin-pemimpin PH telah mengambil jalan yang sama. Selagi itulah mereka terbeban dengan tanggungjawab untuk membersihkan nama mereka.

“Menteri Kewangan, Lim Guan Eng misalnya mengelak proses undang-undang yang sedang berlangsung dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong juga masih tidak jelas apa tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa.

“Adakah Chin Tong merasakan golongan pertengahan ini tidak akan menggunakan landasan yang sama semasa menilai kerajaan kamu nanti?” soalnya.

BACA: "Mengapa tanya, saya tidak boleh kerja?" - Exco Perak bertugas seperti biasa

BACA: 
Laporan PAC: Najib mahu Guan Eng dikenakan tindakan

Tegasnya lagi, ia menjadi pengajaran kepada pemimpin-pemimpin muda di dalam UMNO agar dijadikan sempadan di masa hadapan.

“PRU ke-15 akan menjelmakan penawaran UMNO sebagai sebuah parti berketrampilan dengan pengalaman cemerlang selama 61 tahun memacu negara, tetapi kali ini tanpa pemimpin yang rasuah.

“Inilah penawaran kami kepada pengundi golongan pertengahan pada PRU ke-15 kelak.

Nampaknya perumpamaan 'power is might' ada kebenarannya. Sekiranya rakyat mahu mencari kebenaran kepada kes-kes yang melibatkan pemimpin PH pula, saya percaya golongan ini akan mengundi mengikut naluri dan tuntutan mereka itu,” katanya.

Bastien juga mahu Chin Tong tahu, golongan itu amat berprinsip dengan perjuangan Agama, Bangsa dan Tanahair (Abata) yang dibawa oleh penyatuan ummah mungkin menjadi sebahagian sahaja dari pertimbangan mereka.

“Sekiranya janji PH tidak dilaksanakan, mereka juga tidak akan teragak-agak untuk menukar selera mereka kerana tidak mahu menggadai prinsip menyokong kerana apa yang dijanjikan.

“Golongan pertengahan adalah fokus utama Pemuda UMNO. Kami mengetengahkan muka-muka baru yang bukan sahaja dari golongan professional, tetapi adalah produk hasil kejayaan Barisan Nasional (BN) membina negara selama 61tahun.

“Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki  dan Naib Ketuanya, Shahril Sufian Hamdan merupakan barisan hadapan Pemuda UMNO mendepani golongan pertengahan,” tegasnya.

Katanya lagi, perjalanan UMNO juga sudah berubah dengan tidak lagi feudal selain lebih bersedia dan terbuka menerima pandangan.

“Apa yang membezakan BN dan PH selepas ini adalah seperti yang diperkatakan tadi bahawa parti kami sudah dibersihkan melalui proses undang-undang dan yang kedua kami mempunyai jasa dan pengalaman luas mentadbir negara. Buat masa ini, inilah perjalanan parti kami meniti PRU ke-15,” ujarnya.

Jelasnya, UMNO kini akan menghadapi sebuah kerajaan yang mengelak undang-undang dan masih terkial-kial membuktikan keupayaan mereka mentadbir ekonomi negara.

Tag: Najib Razak, Zahid Hamidi, Lim Guan Eng, Asyraf Wajdi Dusuki, UMNO, PAS, Barisan Nasional, DAP, MIC, Pakatan Rakyat, PRU, ADUN, rasuah, politik, pendidikan, menteri, Cina, Melayu


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.