SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri N.24 Semenyih pada 16 Februari dan hari mengundi pada 2 Mac depan.

PRK ini diadakan berikutan penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, meninggal dunia pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Jumlah pengundi berdaftar bagi DUN N24 Semenyih adalah sebanyak 54,503 pengundi.

Dalam jumlah itu, jumlah pengundi Melayu merupakan yang terbesar iaitu 36,857 pengundi (69.2 peratus), Cina 8,939 (16.8 peratus) dan India 7,062 (13.3 peratus).

Memandangkan peratusan jumlah pengundi Melayu melebihi jumlah pengundi bukan Melayu, maka secara kasarnya, boleh dibuat kesimpulan bahawa undi Melayu mampu menentukan keputusan PRK Semenyih.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), calon daripada Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, Bakhtiar, menang kerusi itu dengan majoriti 8,964 apabila memperolehi 23,428 undi.

Beliau menewaskan calon BN, Pas dan PSM dalam persaingan empat penjuru.

Rekod keputusan PRU12,13 dan 14 menunjukkan bahawa BN mempunyai penyokong tegar seramai 15,000 pengundi dan Pas sebanyak 7,000 pengundi di DUN Semenyih.

Malah, Pas pernah memperolehi 6,966 undi pada PRU14. Jadi, meskipun calon PH menang dengan majoriti yang agak besar pada PRU14, tetapi sekiranya undi Pas dicampurkan dengan undi BN, maka calon PH hanya menang dengan majoriti lebih kurang 1,000 undi sahaja.

Kemenangan BN dan Pas

Kerjasama politik BN dan Pas di Cameron Highlands telah menghasilkan kemenangan kepada BN.

Kejayaan gabungan strategik ini telah mengorak langkah baru bagi Pas dan BN terus bersatu menentang PH dalam PRK Semenyih.

Dengan itu, Pas memberi laluan kepada BN untuk menentang calon PH .

Dalam pada itu, analisa pola pengundian menunjukkan bahawa calon PH mengalahkan calon BN pada PRU14 kerana sebahagian besar pengundi India, yang biasa menyokong BN dan sebahagian kecil pengundi Melayu yang berpendirian atas pagar dikesan mengalih sokongan mereka kepada calon PH.

BACA: PH perkenal calon PRK DUN Semenyih 14 Februari ini - Muhyiddin

BACA: PH putuskan calon Bersatu dalam PRK Semenyih

Dengan peralihan sokongan itu, calon PH memperolehi 23,428 undi berbanding hanya 14,464 undi oleh calon BN.

Selain itu, kemenangan calon PH di DUN Semenyih pada PRU14 adalah kerana tercetusnya gelombang perubahan yang mempengaruhi minda pengundi untuk menukar kerajaan.

Malah, sebahagian besar pengundi, merentasi kaum, mengalih sokongan mereka kepada PH akibat tertarik dengan Manifesto PH pada PRU14.

Ia menjanjikan pelbagai kemudahan kepada rakyat, terutamanya mengurangkan harga barang keperluan asas, menghapuskan tol, menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menaikkan gaji minimum pekerja dan sebagainya.

Namun, medan politik telah banyak berubah selepas PRU14. Malahan, rakyat yang meletakkan PH di singgahsana Putrajaya dilaporkan kecewa kerana kebanyakan janji-janji yang diharap dilaksanakan dalam masa 100 hari dari tarikh membentuk kerajaan pusat tidak dapat dilunaskan.

Malahan, kepimpinan utama PH turut mengakui bahawa Manifesto PH PRU14 disediakan semata-mata untuk meraih sokongan rakyat kepada PH untuk menjatuhkan BN.

Lebih-lebih lagi, kepimpinan PH juga mengaku bahawa keraaan tidak mampu menepati semua janji-janji yang disebut dalam Manifesto PH.

Menilai sokongan

Sehubungan itu, sokongan orang Melayu kepada kerajaan PH, kajian yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan bahawa hampir 60 peratus orang Melayu menolak PH.

Penolakan ini adalah kerana kerajaan PH gagal melunaskan janji-janji politiknya. Malah mereka turut gusar terhadap masa depan masing-masing kerana terdapat laporan yang berlegar dalam media sosial kononya Putrajaya kini dikuasai oleh DAP.

Ia dikatakan sebab terhakisnya kedaulatan hak-hak politik orang Melayu dan agama Islam.

Meskipun sebahagian besar pengundi Cina dan pengundi India dijangka terus menyokong PH, persepsi orang Melayu terhadap kerajaan PH akan mendatangkan impak yang signifikan kepada pola pengundian PRK Semenyih.

Kedudukan senario politik semasa seperti dihuraikan bukan sahaja menimbulkan cabaran malah menyukarkan PH mempertahankan DUN Semenyih pada PRK ini.

Jadi, persoalannya, apakah kerjasama Pas dengan BN yang disokong oleh sebahagian besar pengundi Melayu mampu mengalahkan calon PH, seperti mereka lakukan di PRK Cameron Highlands sebelum ini?



*Datuk M.Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.