Beberapa laman web parti politik di Malaysia dipercayai digodam dan diserang pihak tidak bertanggungjawab pagi tadi melalui Serangan Penafian Perkhidmatan Tersebar (DDoS).

Sejumlah 12 laman web dikenal pasti terbabit dalam serangan tersebut.

Berdasarkan pemerhatian Astro AWANI, laman-laman web ini tidak boleh diakses dan ada yang dilencongkan ke laman web sementara.

Menurut konsultan keselamatan siber Mohd Fazli Azran di laman Facebooknya hari ini, serangan kali ini agak berbeza yang mana kebiasaannya hanya melibatkan organisasi syarikat dan bukannya parti politik.

Motif serangan siber ke atas parti-parti politik ini tidak diketahui kerana biasanya serangan DDoS di Malaysia dan rantau Asia Tenggara melibatkan syarikat perkhidmatan kewangan, perisian, teknologi, media, dan aset sektor awam.

Fazli yang juga merupakan Ketua Peneraju Open Web Application Security Project (OWASP) Malaysia menambah, antara laman web lain yang berpotensi diserang ialah yang berkaitan pendidikan, internet, aset telekomunikasi, peruncitan, perjudian, hotel dan penyedia perkhidmatan perjalanan.

Selain serangan siber ke atas laman web parti politik, beberapa calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini juga mendakwa telefon bimbit mereka digodam dengan menerima panggilan telefon 'spam' daripada nombor-nombor tidak dikenali dari luar negara.

Antaranya, calon Barisan Nasional (BN) di P.157 Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Said Othman dan calon BN di P.171 Sepanggar, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.


Astro AWANI masih cuba untuk mendapatkan penjelasan daripada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), sebuah agensi di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), tentang serangan DDoS yang dilancarkan terhadap laman-laman web tersebut serta serangan ke atas telefon bimbit calon-calon PRU14.

Kebanyakan serangan didakwa dilancarkan dari pusat data di Hong Kong namun belum dapat disahkan kesahihannya setakat ini.

Sumber lain memberitahu, salah satu laman web yang diserang dikesan alamat IP dari Vietnam, Filipina, Brazil dan Ukraine manakala sebahagian besar datang dari Indonesia.

Kemungkinan alamat IP ini digodam atau dikawal oleh penggodam dari negara lain juga amat tinggi.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan mengenai amaran dikeluarkan NACSA tentang potensi serangan siber ke atas infrastruktur yang mensasarkan organisasi atau syarikat di Malaysia.

OWASP adalah badan amal global bukan berdasarkan keuntungan yang memfokuskan keselamatan perisian komputer.

Berikut senarai laman web yang diserang DDoS:

keadilanrakyat.org
dapmalaysia.org
pakatanharapan.com.my
pribumibersatu.org.my
pas.org.my
amanah.org.my
www.umno-online.my
www.mic.org.my
www.mca.org.my
upko.org.my
ppp.org.my
barisannasional.org.my