Gerak kerja kempen yang dilaksanakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 terbantut apabila wujud isu sekatan akses ke negeri Sarawak terhadap pemimpin pusat parti itu.

Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmi Fadzil berkata sekatan terbaru yang dilakukan terhadap Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar jelas telah merencatkan program kempen PKR.

"Ramai daripada pimpinan tidak tahu sama ada mereka boleh masuk atau tidak (ke Sarawak) dan ini menyebabkan kesukaran dari segi penyediaan tiket penerbangan, jentera kempen dan lain-lain.

"Contoh Nurul Izzah sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR, beliau sepatutnya sehari suntuk berada di Miri tiba-tiba jentera kempen dimaklumkan pukul 9.45 pagi Nurul Izzah tidak dapat masuk dan terpaksa balik (ke Kuala Lumpur)," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Malah, Fahmi menyifatkan sekatan yang dilakukan Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Jabatan Imigresen negeri itu merupakan satu tindakan yang tidak adil kepada mana-mana individu serta parti politik yang ingin menjalankan aktiviti politik.

"Dan dari segi itu (kekangan akses ke Sarawak), ia membantut usaha kita untuk bertemu pengundi-pengundi di Sarawak dan ini adalah satu tindakan bagi saya tidak adil.

"Bukan sahaja untuk PKR tetapi untuk semua pihak yang ingin melaksananakan dan menjalankan aktiviti politik yang sah di sisi undang-undang," ujar Fahmi.

Hari ini, Nurul Izzah dilaporkan gagal memasuki Sarawak sejurus tiba di Lapangan Terbang Miri, pagi tadi walaupun telah mengemukakan surat permohonan masuk pada 29 April lalu.

Selain Nurul Izzah, beberapa pemimpin pembangkang dari Semenanjung turut tidak diberikan kebenaran untuk memasuki negeri Bumi Kenyalang itu sebelum ini.

Sementara Menteri Besar Selangor, merangkap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula telah dihadkan tempoh tinggal mereka oleh pihak berkuasa negeri.