Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyarankan parti MIC dan MCA tidak mengambil pendirian secara melulu dan dalam keadaan suasana tegang dan dalam keadaan sedang marah.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi berkata perbincangan harus diadakan terlebih dahulu dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

Menurut Asyraf, rakyat masih menyandarkan harapan kepada Barisan Nasional (BN) untuk berpaut dan menyuarakan hasrat mereka.

BACA: MCA, MIC intai gabungan baharu

“MCA dan MIC jangan membuat apa-apa pendirian secara melulu dan dalam keadaan marah. Kita bila dalam suasana yang tegang kita jangan buat keputusan lagi.

“Lebih baik kita duduk dulu berbincang sebab saya kira kita hari ini kita harus ingat apa juga yang kita nak rencanakan bukan untuk kepentingan parti sahaja kita harus memikirkan kepentingan rakyat.


“Dalam keadaan rakyat memerlukan tempat untuk berteduh, sedang mencari dahan yang kuat, rakyat masih meletakkan harapan supaya BN dan kerjasama baharu melibatkan Pas untuk menjadi tempat mereka boleh mengadu, merintih menyuarakan suara mereka,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Sebelum ini dalam satu kenyataan bersama kedua-dua presiden parti berkenaan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Tan Sri S.A Vigneswaran telah menyatakan cadangan untuk meneroka perikatan baharu selepas percaya kerjasama dengan UMNO dalam BN tidak lagi mencerminkan hasrat sebenar perpaduan dalam kalangan parti terbabit.

MCA dan MIC telah menyatakan cadangan untuk meneroka perikatan baharu selepas percaya kerjasama dengan UMNO dalam BN tidak lagi mencerminkan hasrat sebenar perpaduan dalam kalangan parti terbabit. - Foto Bernama

Dalam reaksinya, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau mengambil maklum luahan rasa tidak puas hati oleh Presiden MCA dan Presiden MIC dan beliau tidak akan mengetepikan begitu sahaja perkara itu.

BACA: BN akan mesyuarat segera bincang masa depan - Tok Mat

Susulan itu, satu mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan kenyataan MCA dan MIC yang bertindak mengeluarkan kenyataan bersama mahu melihat kemungkinan menubuhkan gabungan parti yang baharu.


Kenyataan itu bagaimanapun dibidas oleh Setiausaha Agung BN Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang dilaporkan berkata MCA dan MIC harus meninggalkan BN.

UMNO, MCA dan MIC ialah tiga komponen parti asal dari era Perikatan yang telah bersama-sama menubuhkan BN pada tahun 1974. Pada kemuncaknya, BN dianggotai 13 parti komponen termasuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) serta parti-parti tempatan Sabah dan Sarawak.



Bagaimanapun, semua parti melainkan UMNO, MCA dan MIC telah bertindak keluar BN setelah parti itu kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.