Tutup

Menyeimbang kekuatan calon dan parti di Tanjung Piai

Menyeimbang kekuatan calon dan parti di Tanjung Piai
PRK ini boleh dikatakan menjadi tarikan semua media dan orang ramai selepas PRU tahun lepas yang disamakan sebagai ibu semua pilihanraya. - Gambar Astro AWANI
PERTANDINGAN enam penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gerakan, Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua orang calon Bebas akan menentukan siapa yang bakal duduk di kerusi Tanjung Piai selepas  Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu pada 16 November ini.

PH dengan misi mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu, meletakkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini manakala Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan bekas penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng untuk merampas kembali kerusi yang pernah dimenanginya pada PRU12 dan 13.
Selain itu turut mencuba nasib, Timbalan Setiausaha Agung Nasional dan Naib Ketua Wanita Nasional parti itu, Wendy Subramaniam; Presiden Berjasa Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; dan dua calon Bebas iaitu Ang Chuan Lock, serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Enam calon dengan dua wanita menunjukkan komposisi bagus selain empat parti dengan dua lagi bebas menambah rencah PRK kali ini.
Dua hari berlalu, kempen yang bermula dengan memberi titik sentuhan oleh kesemua calon kepada pengundi mula menunjukkan kesan di 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan itu sendiri.

Ia sekali gus cubaan mempengaruhi pengundi dengan teknik serta strategi terbaik menawan hati yang boleh dipersembahkan demi mendapat pangkah pada hari pembuangan undi nanti.


Tumpuan PRK

Tumpuan PRK kali ini tidak boleh dinafikan diberi lebih kepada calon PH dan BN. Walaupun baki empat lagi calon berusaha untuk mendekati hati pengundi namun realitinya rekod kemampuan Jeck Seng dan Karmaine kini dinilai dalam setiap aspek untuk menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Karmaine ada rekod tewas di kerusi Parlimen Pontian kepada calon BN, Datuk Seri Ahmad Maslan dengan hanya majoriti 833 undi sementara Jeck Seng pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada 2008 sehingga 2018, tewas kepada calon PH, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafiq dengan 524 undi.

Lebih menambah ramuan apabila Gerakan yang mengumumkan keluar dari BN pada 23 Jun tahun lepas kali pertama menghantar Wendy untuk mencuba nasib pada PRK kali ini.

Alasan mereka mudah, mahu menguji kekuatan ahli serta jentera parti yang ada untuk persiapan menjelang PRU akan datang selain mengukur kesepaduan ahli yang berbilang kaum.

Sebenarnya, calon selain BN dan PH mungkin boleh dikatakan hanya mencuba nasib, muka baharu bertanding dan tidak keterlaluan boleh diibarat pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam semata-mata.

Dengan pemilihan dua calon ini, boleh diandaikan juga calon ini boleh menang dengan penilaian konteks strategi kekal dan dapatkan semula (regain and retain).

PRK ini boleh dikatakan menjadi tarikan semua media dan orang ramai selepas PRU tahun lepas yang disamakan sebagai ibu semua pilihanraya.

Ia merupakan sambungan serangan dan strategi terkini penggunaan media sosial dalam kempen yang masih dilihat antara faktor kuat yang mempengaruhi keputusan pengundi untuk menyokong calon masing-masing.

Calon-calon juga dilihat menggunakan strategi kempen ini yang dianggap efektif kerana pusat graviti mereka ini menumpukan kepada lokasi tumpuan pengundi sehari-hari seperti pasar awam dan memancing masyarakat ke lokasi ceramah mereka saban malam.




Janji calon

BN serta PH adalah parti yang mempunyai jentera serta logistik, kedua-duanya terkenal dalam sejarah gemilang dalam pilihanraya selain lali dengan strategi yang digunakan untuk bertempur di media sosial atau kempen seharian.

Parti pemerintah akan menggunakan kelebihan dengan mengumumkan janji-janji yang realistik dan peruntukan yang tidak dinafikan boleh 'turun' tanpa halangan.

Sementara BN pula mungkin boleh memainkan sentimen janji-janji PH pada PRU lepas yang dikatakan masih belum tertunai sepenuhnya kepada rakyat.

Apakah rakyat pada waktu PRK ini mahu melihat kemampuan wakil mereka merealisasikan hal-hal tempatan atau terus membawa isu yang lebih besar di peringkat Dewan Rakyat serta berkait rapat dengan hal-hal polisi negara?

Harus disedari, calon yang ditampilkan ini akan mewakili Parlimen dan bukan skop pengurusan DUN Kukup atau Pekan Nanas yang kecil sahaja.

Pada waktu ini, calon yang boleh menjelaskan kepada pengundi tugas-tugas mereka di Parlimen kelak yang merangkumi isu polisi pasti menjadi pilihan.

Pada sebelah BN, mungkin perlu mengetengahkan kempen dan misi yang segar serta mesej baharu yang berbeza namun mempunyai kepentingan kepada pengundi berbanding dibuat mereka pada PRU atau mana-mana PRK selepas Mei 2018.

Dalam konteks sebegini, parti kena memastikan kefahaman dan keterlibatan cara tradisional yang memberi inspirasi serta menyentuh hati pengundi. Jelas, calon dari BN dan PH mempunyai kelebihan itu.

BACA: 'BN menang PRK, UMNO-Pas jadi jurucakap kaum Melayu'

BACA: 
Tanjung Piai: PRK muafakat atau PRK sentimen?


Apa mesej

PRK kesembilan selepas PRU ini melihat kepada bagaimana calon memberi inspirasi dan menyalurkan apa mesej yang hendak dibawa kepada pengundi.

Jika ia dibawa dengan baik, pasti akhirnya akan mengecap kemenangan dengan tambahan strategi kempen penggunaan berhemah di media sosial dengan mesej yang berkesan.

Dalam konteks calon dan parti, kedua-dua perkara itu tidak dapat dipisahkan, kalau parti kuat namun calon tidak bagus, tidak ada gunanya dan begitulah juga sebaliknya.

Apabila kedua-dua pihak seimbang, calon-calonnya juga bagus, pasti parti boleh dikatakan dalam keadaan tenteram dan tidak ada timbul situasi kelam kabut.

Tidak dinafikan, memang ada suara-suara tidak bersetuju dalam kem atau PDM, namun itu perkara biasa dalam mana-mana PRK atau PRU sekalipun. Dalam tempoh ini, paling utama untuk melihat apa mesej inspirasi yang ingin disampaikan calon.

Selepas mengenalkan diri, mereka perlu membentangkan manifesto terbaik, namun jika ia dipertikai, parti itu akan dilihat tidak boleh memberi khidmat jika menang kelak selain calon sendiri akan terpalit sikap tidak berkarisma serta bertanggungjawab.

Apa pilihan yang ada? Kalau dikira kepada parti pemerintah, semua tahu, manifesto bukan janji kepada mereka.

BACA: PRK Tanjung Piai: Pembangkang perlukan bukan muslim yang tidak ekstrem - Presiden PAS

BACA: 
Amanah akui PH hadapi tentang sengit di Tanjung Piai - Mohamad Sabu

Segala mesej yang diukir perlu jelas dalam menerangkan peranan pembangkang atau pemerintah dalam Parlimen. Semuanya perlu seimbang. Perlu diingat, rakyat mungkin tidak rugi jika memilih pembangkang dan begitulah sebaliknya.

Harus diingat, Parlimen adalah tempat wakil rakyat berbahas tentang polisi, DUN pula membincangkan hal-hal daerah dan negeri.

Jadi, isu apa yang hendak disampaikan kelak bergantung juga kepada parti atau calon yang selesa di mata rakyat.

Mereka seharusnya membuat keputusan matang dan betul selain kembali membuat sebarang mesej yang memberi inspirasi kepada pengundi. Kempen dan mesej harus bergerak seiring dan lebih efektif berbanding emosi yang membawa kepada kerunsingan masyarakat.

Rakyat pula berhak mengetengahkan mesej-mesej yang bagus untuk kebaikan mereka sendiri selepas PRK ini. Bukan memikirkan masalah calon, isu pembangkang, pemerintah atau parti yang tidak membawa sebarang faedah atau keuntungan dalam skala yang besar untuk komuniti itu sendiri.



* Wan Syamsul Amly ialah wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.




Tag: Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Dewan Rakyat, GERAKAN, PRU14, UiTM, Media, Manifesto, Parlimen, media sosial, wanita, calon, pemilihan, pembangkang, serangan, rakyat



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.