Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO hari ini tidak membincangkan mengenai kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantung jawatan sebagai Timbalan Presiden parti.

Perkara itu ditegaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempengerusikan mesyuarat itu petang tadi.

"Kita tidak ada bincang kedudukan Tan Sri Muhyiddin," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat MT UMNO di bangunan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini digantung daripada jawatan dalam parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Sabtu lalu berkata, ianya terpulang kepada anggota mesyuarat sama ada ingin membuat keputusan mengenai kes Muhyiddin dan Mukhriz ataupun tidak.

Status kedudukan mereka dalam UMNO juga kini menjadi tanda tanya berikutan penglibatan mereka dengan ‘Deklarasi Dr Mahathir’ Mac lalu.