Datuk Seri Dr S. Subramaniam hari ini menyarankan Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP) Tan Sri M. Kayveas supaya beralih kepada kerusi di Pagoh, Johor sekiranya beliau tetap ingin bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Katanya, Kayveas boleh mengambil tindakan itu sekiranya dia benar-benar mahu membantu BN mencapai kemenangan pada PRU14, bukannya dengan bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Menurut Subramaniam yang juga Pengerusi MIC, Parlimen Cameron Highlands merupakan kerusi tetap yang ditandingi MIC sejak PRU ke-11.

"Nasihat saya kepada Kayveas, kerusi yang lebih baik ialah kerusi Pagoh di Johor. Sekarang, wakil rakyatnya sudah jadi pembangkang," katanya merujuk kepada wakil rakyat Pagoh sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini menganggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

"Jika anda mahu bertanding di Pagoh, ia kerusi yang stabil, jangan bertanding di Cameron," kata Subramaniam kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen MIC Negeri Perak ke-71 di sini, hari ini.

Semalam, Kayveas yang ditemui pada Konvensyen MyPPP Melaka kali ke-17 di Air Keroh, menyatakan beliau tetap bertanding di Parlimen Cameron Highlands sama ada sebagai calon BN atau calon bebas.

Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata, kenyataan Kayveas mahu bertanding di kerusi itu adalah tidak digalakkan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan berbincang mengenai keputusan mengejut ketua salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN) itu dan membangkitkan isu berkenaan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN minggu ini.

Beliau menegaskan, tiada sebab untuk MIC memberikan laluan kepada mana-mana parti komponen BN untuk bertanding di Parlimen berkenaan kecuali atas arahan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak.

Tambahnya, permintaan kerusi daripada parti komponen BN acapkali berlaku setiap kali PRU berlangsung, namun semua keputusan akhirnya akan dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan, iaitu pengerusinya sendiri.

Subramaniam turut melahirkan rasa kecewa kerana Kayveas sanggup untuk bertanding atas tiket bebas sekiranya tidak dipilih untuk menjadi calon di Cameron Highlands.

Katanya, ia jelas membelakangkan prinsip kebersamaan yang ditonjolkan oleh setiap parti dalam BN.

"Semalam beliau telah mengeluarkan kenyataan yang amat menyedihkan saya kerana katanya kalau dia tidak diberi kerusi ini (Cameron Highlands) oleh BN, dia mungkin mempertimbangkan untuk bertanding sebagai calon bebas.

"Mengenai menjadi calon bebas, itu bukan di bawah kuasa saya. Tetapi saya boleh katakan, kalau di dalam MIC ada mana-mana ketua cawangan atau ketua bahagian yang tidak diberi kerusi mahu bertanding sebagai calon bebas, serta merta kita akan buang dia daripada parti," katanya.

Kayveas, yang juga penasihat Kementerian Pengangkutan, berkata beliau telah meminta ‘restu' daripada Najib sebelum berkhidmat kepada masyarakat di Cameron Highlands kira-kira dua tahun lepas untuk memastikan kemenangan BN.