Tidak wujud persengketaan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, tegas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, pihak yang membuat dakwaan itu tidak lain hanya mahu mewujudkan persepsi bahawa berlaku perbalahan dan perpecahan dalam parti itu susulan satu mesyuarat khas tergempar yang diadakan baru-baru ini.

“Parti kita ini demokratik dan kita tidak menyekat, menghalang sesiapa memberikan pandangan dan pendapat.

“Setakat ni saya tiada apa-apa masalah, masih terus memimpin parti bersama Tun (Dr Mahathir), Mukhriz dan rakan-rakan yang lain di peringkat nasional dan juga di peringkat negeri,” jelasnya ketika ditemui selepas selepas merasmikan sambutan hari ulang tahun Rela Malaysia peringkat negeri Johor di Pusat Konvensyen, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini pada Jumaat.

BACA: 'Tun M letak jawatan? Itu rekaan sahajalah ... ' - Muhyiddin

Mesyuarat itu didakwa diadakan atas permintaan Dr Mahathir merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang tidak berpuas hati dengan pelantikan dua Exco baharu kerajaan negeri Johor iaitu Solihin Badri dan Tosrin Javanthi.

Terdahulu, Muhyiddin dan Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal sudah mengemukakan nama Solihin dan Tosrin kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tanpa memaklumkannya terlebih dahulu kepada Perdana Menteri.

Sebagaimana persetujuan awal, Dr Mahathir dikatakan tidak mahu ada perubahan dalam kedudukan Exco Johor kecuali penambahan seorang lagi Exco daripada Bersatu bagi menggantikan Dr Sahruddin yang dilantik menjadi Menteri Besar, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menegaskan bahawa ura-ura mengatakan Dr Mahathir mahu melepaskan jawatan Perdana Menteri seperti yang tular adalah rekaan semata-mata dan tidak sepatutnya dibangkitkan.