Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan wujud komplot antara dirinya dengan pemimpin pembangkang bagi menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dakwaan itu kononnya menjadi punca sebenar pengguguran Muhyiddin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri susulan rombakan kabinet tempoh hari.

"Terkini ada pihak mengatakan yang saya tidak tersenarai dalam kabinet baru bukan kerana kelantangan saya bercakap mengenai isu 1MDB, tetapi wujudnya komplot melibatkan saya dengan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk jatuhkan PM.

"Kedua-dua mereka menafikan perkara ini. Cukuplah. Saya nak jelaskan bahawa saya tidak terlibat," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara pada Ahad.

Sepanjang lebih 40 tahun bersama UMNO, Muhyiddin berkata beliau sentiasa menghormati institusi kepimpinan parti keramat itu dan negara, serta sentiasa berusaha menegakkan kebenaran sebagai teras utama perjuangannya.

"Saya berkhidmat dalam kerajaan selama 37 tahun, dan sepanjang itu saya menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab demi agama, bangsa dan negara.

"Platform ini saya gunakan untuk menyuarakan pandangan, pendapat dan teguran terhadap rakyat serta kepimpinan selain menghebahkan setiap perancangan kerajaan yang dibuat demi kebaikan rakyat," katanya.

BACA: Hormati keputusan gugur Muhyiddin, tangani keadaan dengan 'cara Johor' - Khaled

BACA: 'Jangan paksa Muhyiddin letak jawatan' - Shahrizat

BACA: 'Saya tidak akan mengkhianati UMNO' - Muhyiddin Yassin

Muhyiddin berkata isu 1MDB jelasnya merupakan satu isu yang sangat besar sehinggakan akhbar Wall Street Journal melaporkannya.

"Malah ia kini sedang diperkatakan di setiap peringkat, setiap masa. Takkan saya sebagai timbalan presiden UMNO dan timbalan perdana menteri ketika itu salah untuk menyuarakan pandangan saya sendiri?" soal Muhyiddin.

Prinsip 'amar makruf nahi mungkar' sentiasa dipegang Muhyiddin dan beliau tidak takut sesiapa dalam usahanya menegakkan kebenaran.

Pada masa sama, beliau turut menggesa perwakilan untuk berani bersuara dan menyatakan pendirian sekiranya ikhlas berjuang di atas landasan yang benar.

"Apakah sekiranya sesuatu itu berlaku bercanggah dengan prinsip perjuangan kita, kita terus diam membisu kerana takut kehilangan kedudukan? Jika itu berlaku, maka ia merupakan 'resepi' kepada tumbangnya UMNO.

"Kita berada di sini bukan untuk memuaskan keinginan sendiri, tetapi untuk memperjuangkan rakyat yang meletakkan kepercayaan mereka kepada kita untuk memimpin kita. Saya sanggup terima apa saja tetapi saya tidak akan berdiam selagi semua permasalahan ini belum selesai," katanya.