Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Muktamad! Keahlian Dr Mahathir, Muhkriz dan tiga lain terhenti serta merta - MPT

Muktamad! Keahlian Dr Mahathir, Muhkriz dan tiga lain terhenti serta merta - MPT
Hamzah berkata, keahlian lima Ahli Parlimen tersebut yang terhenti dengan sendiri adalah selaras dengan peruntukan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan Bersatu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berlangsung malam tadi mengesahkan keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi ahli parti itu telah terhenti dengan sendirinya selaras dengan perlembagaan parti.

Selain Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, empat yang lain merujuk kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam). 
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu selaras dengan perlembagaan parti dan tafsiran MPT berhubung perkara itu adalah muktamad.

"Mesyuarat MPT mengesahkan keahlian Dr Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Amiruddin dan Maszlee terhenti secara serta-merta menurut peruntukan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan Bersatu dan tafsiran MPT berhubung terhentinya keahlian mereka adalah muktamad," katanya. 
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini susulan mesyuarat MPT yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya malam tadi.

“Pada kesempatan ini, MPT merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir, mantan Timbalan Presiden Mukhriz, mantan Ketua Armada Syed Saddiq dan semua ahli MPT yang telah meninggalkan parti atas segala sumbangan dan pengorbanan yang mereka curahkan kepada parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, MPT turut mengesahkan bahawa Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya adalah sekian lama Setiausaha Kerja Bersatu yang sah dan sebarang surat pemakluman yang ditandatangani beliau selaku Setiausaha Kerja adalah terpakai secara rasmi.

BACA: Tiada individu atasi perlembagaan parti - Muhyiddin

BACA: Dr Mahathir, Muhkriz dan tiga yang lain digugur keahlian Bersatu

BACA: MPT Bersatu sokong Muhyiddin sebagai pemangku Pengerusi dan Perdana Menteri

Selain itu, Hamzah menjelaskan, pelantikannya sebagai Setiausaha Agung Bersatu pada 26 Mac adalah sah selepas Datuk Marzuki Yahya diberhentikan melalui surat bertarikh 18 Mac.

Akhir sekali, beliau berkata, MPT juga mengesahkan bahawa keputusan memuktamadkan penyertaan Bersatu dalam gabungan parti politik baru yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Bersatu  adalah bertepatan dengan matlamat, tujuan dan dasar parti.

“Dengan pengesahan dan ketetapan yang telah diambil pada mesyuarat MPT semalam, saya menyeru kepada ahli dan pimpinan akar umbi untuk kekal istiqamah bersama parti demi perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi.