Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad telah ditahan reman selama tiga hari berikutan penglibatannya menganjur himpunan #KitaLawan, Sabtu lalu.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menerusi mesej Whatsapp sebentar tadi.

"Harap maklum YB Nik Nazmi Ahmad, Ketua AMK merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor telah ditahan reman selama 3 hari hingga ke hari Rabu, 11 Mac di Balai Polis Jinjang," tulis mesej tersebut.

Ianya turut disahkan peguam Nik Nazmi, Eric Paulsen ketika dihubungi Astro AWANI.

"Ya, beliau direman tiga hari sehingga Rabu. Bagaimanapun majistret tidak memberikan sebarang sebab, tetapi pihak polis ada memberikan beberapa sebab namun ianya dianggap tidak sah.

"Oleh itu, pihak kami akan memfailkan semakan terhadap keputusan majistret," katanya.



Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu telah ditahan polis selepas hadir memberi keterangan di IPD Dang Wangi jam 10 pagi Ahad.

Peguam, Melissa Sasidaran telah memaklumkan bahawa Nik Nazmi ditahan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan berulang sebagai penganjur.

Bagaimanapun Melissa menyangkal tuduhan tersebut kerana menurutnya, Nik Nazmi bukanlah pesalah kerana beliau tak pernah dijatuh hukum oleh mahkamah, meskipun beberapa kali didakwa.

Terdahulu, Nik Nazmi telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan #KitaLawan pada Sabtu.

Nik Nazmi dalam catatan tweetnya pada malam Sabtu berkata beliau menerima panggilan daripada pegawai polis untuk memintanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 8 Mac.

Seorang lagi pemimpin Pemuda PKR yang ditahan di bawah akta yang sama ialah Ketua Pemuda PKR Kelana Jaya Saifullah Zulkifli.

Beliau telah ditahan polis sejurus selepas perhimpunan itu selesai.

Penahanan itu mendapat kecaman beberapa pemimpin PKR yang menyifatkan tindakan itu sebagai 'tidak wajar' kerana perhimpunan diadakan petang Sabtu itu berlangsung dengan aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun sebelum itu telah memberi amaran kepada penganjur perhimpunan tersebut supaya bersedia dengan apa-apa tindakan yang akan diambil pihak polis.

Perhimpunan #KitaLawan diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap pemenjaraan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar setelah mendapatinya bersalah atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.