PAS tetap meneruskan usaha untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud di Kelantan walaupun ditentang oleh rakan sekutunya DAP, kata presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketika mengulangi pendirian PAS itu, beliau berkata tidak ada tolak ansur dalam perjuangan PAS untuk melaksanakan hudud.

"Dia (DAP) bukan Islam memang dia tidak bersetuju, itu hak dia (tetapi) dia nak paksa kita (PAS), Kelantan nak melaksanakan hudud kena dapatkan persetujuan dia, itu tidak boleh," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Tumpat di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata beliau telah beberapa kali berhujah dengan pemimpin DAP berkaitan pelaksanaan hudud itu dan akhirnya PAS membuat keputusan pelaksanaan undang-undang Islam itu adalah hak kerajaan PAS Kelantan.

BACA: Hudud: 'Keselamatan rakyat lebih penting daripada menang pilihan raya'

BACA: Cara ahli politik kemuka hudud tidak meyakinkan - Prof Mahmood Zuhdi

Anggota Parlimen Marang itu mengemukakan notis usul di Dewan Rakyat pada 18 Mac lepas untuk membentangkan rang undang-undang itu untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 bagi membuka laluan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Rang undang-undang persendirian itu dimasukkan sebagai perkara terakhir (No.24) untuk dikemukakan kepada mesyuarat pada 7 April lepas namun tidak sempat dibentang untuk perbahasan sehingga Dewan Rakyat ditangguhkan pada 9 April.

Pada 15 April lepas, Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata pihaknya perlu menghantar semula notis untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan rang undang-undang berkaitan hudud itu dibahaskan pada persidangan akan datang.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau hudud pada 19 Mac selepas disokong oleh 44 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk 12 ADUN daripada Barisan Nasional (BN).