Selebriti kontroversi Fathia Latiff dinasihat turun sendiri ke lapangan sekiranya mahu bercerita mengenai isu rakyat.

Exco Puteri UMNO Tangga Batu, Khaidhirah Abu Zahar berkata, pemerhatian dan ulasan Fathia melalui media sosial selama ini disifatkan sia-sia semata-mata.

Jelasnya, kerajaan tidak pernah meminggirkan kebajikan rakyat melalui pelbagai bantuaan yang diberikan selama ini

"Kenapa hendak percaya kepada dakyah-dakyah ringan seperti Fathia Latiff. Tidak perlu. Dia bukan tahu apa pun. Kalau betul hendak cerita pasal rakyat turun padang macam Puteri UMNO.

"Setakat pegang telefon bimbit dan tekan-tekan dia boleh duduk diam-diam. Betulkan hidup dia dulu, betulkan lakonan dia dulu, tidak payah sibuk hal kerajaan," katanya semasa menyokong usul ucapan dasar Ketua Puteri UMNO di sini hari ini.

BACA: Terdesak sangat ke? Rizal Mansor tegur artis populariti merudum

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor secara terbuka menasihati segelintir artis yang sewenangnya menghentam kerajaan tanpa mengetahui perkara sebenar.

Jelasnya, teguran terbuka itu termasuk kepada seorang artis yang telah merudum popularitinya kerana perangai sendiri yang tidak berdisiplin dan terlibat dengan gejala negatif.

Terbaharu, Fathia menerusi perkongsian terbaru di laman Instagramnya menyifatkan mana-mana pihak yang melupakan jasa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad seperti kacang lupakan kulit.

Dalam pada itu tegas Khaidhirah, pucuk pimpinan UMNO seharusnya memberi lebih peluang kepada calon Puteri UMNO menjelang PRU akan datang.