TEKA-teki kesudahan kepada kemelut politik negara terus menjadi tanda tanya selepas Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dilaporkan menerima kembali jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Terbaharu, Dr Mahathir mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri`ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapati bahawa tiada calon pilihan majoriti yang mampu diangkat sebagai Perdana Menteri seterusnya.

Keadaan 'tergantung' di peringkat kerajaan Persekutuan kemungkinan memberikan kesan kepada kerajaan negeri, meskipun beberapa negeri yang diramal terkesan memaklumkan pentadbiran di peringkat itu masih berjalan seperti biasa.

BACA: 'Jika semua orang pilih Muhyiddin, saya ok' - Tun Mahathir

BACA: Tiada majoriti bentuk kerajaan, serah pada Dewan Rakyat - Tun M

Ini kerana, keputusan Bersatu keluar daripada PH sudah tentu memberi kesan kepada perubahan tampuk kepemimpinan di beberapa negeri seperti di Johor, Kedah, Melaka dan Perak.

Setakat ini, negeri-negeri berkenaan tidak memohon sebarang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), maka kemungkinan besar tidak akan berlaku pilihan raya.

Berikut perkara yang berlaku setakat ini di beberapa negeri:

Johor

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Khamis menitahkan agar Gabungan Baharu membentuk kerajaan di negeri itu selepas menyaksikan 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokong gabungan tersebut berbanding 26 ADUN memilih Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Sulit Sultan Johor, Datuk Jaba Mohd Noah berkata keputusan itu dibuat selepas Sultan Ibrahim berpuas hati pada sesi temu bual yang berlangsung pada Selasa di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di Johor Bahru.

Sebelum ini, agihan kerusi DUN Johor terdiri daripada UMNO (14), DAP (14), Bersatu (11), Amanah (9), PKR (5), MIC (2) dan Pas (1).

Kedah

Kedudukan DUN Kedah ketika ini menunjukkan Pas memiliki kerusi paling banyak iaitu 15, PKR (7), Bersatu (6), Amanah (4), UMNO (2) dan DAP (2).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Khamis memaklumkan pentadbiran negeri itu kekal dipimpin oleh beliau selepas 19 ADUN PH Kedah bersetuju menyokong kepimpinan beliau.

Justeru, Kedah ketika ini berstatus PH dan Bersatu.

Melaka

Negeri bersejarah ini juga mempunyai potensi untuk bertukar kerajaan memandangkan keududukan kerusi DUN ketika ini menyaksikan PH dan BN masing-masing mempunyai 13 kerusi DUN, manakala Bersatu dua kerusi.

Justeru, kedua-dua parti – UMNO dan PH perlu menunjukkan bukti bahawa mereka mempunyai sokongan majoriti dalam usaha untuk membentuk kerajaan di negeri itu.

Perak

Status kerajaan Perak juga ketika ini masih tergantung selepas kerusi DUN PH menjadi 28 dengan pecahan 18 kerusi DAP, enam (Amanah); dan empat (PKR).

Sementara, kerusi DUN pembangkang Perak juga kekal sebanyak 28 kerusi dengan masing-masing 25 dimiliki UMNO dan selebihnya daripada Pas.

Bersatu pula memiliki dua kerusi DUN.

Bagi negeri-negeri lain, PH mungkin akan mengekalkan Pulau Pinang dan Selangor.

Di Negeri Sembilan, PH juga berada dalam kedudukan yang lebih selesa memandangkan Bersatu tidak menyumbang mana-mana kerusi di negeri itu.

Di Selangor pula PH menguasai 50 daripada 56 kerusi DUN.

Di Sabah, kerajaan negeri diketuai oleh Warisan dan PH hanya sekadar rakan kongsi, yang mana ia masing-masing terdiri daripada Warisan (31); Bersatu (6); DAP (6); UPKO (4); dan PKR (2).